Tebingan Kuching Akan Tampil Lebih Cantik Dan Menarik



Kuching: Tebingan Kuching akan tampil lebih cantik dan menarik untuk menarik kehadiran pelancong selepas projek menaik taraf dirancang tidak lama lagi.

Memetik laporan Utusan Borneo, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, berkata, projek menaik taraf berjumlah RM6 itu turut menempatkan semula tapak sejarah supaya lebih sesuai dan mudah dibaca.

"Tapak sejarah di Tebingan Kuching sebenarnya sudah berada di situ sejak 20 tahun lalu.

“Terdapat 12 keping catatan pada ‘Cooper Tooling’ yang memaparkan sebahagian sejarah Sarawak untuk tatapan umum.

“Kedudukan Cooper Tooling sekarang ini terletak di lantai yang sudah mula pudar dan calar akibat di pijak pengguna dan pengunjung Tebingan Kuching serta sukar untuk orang ramai melihat dan membacanya," katanya.

Tambah beliau lagi, kerja menaik taraf akan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan yang akan bermula dalam tahun ini.

"Projek ini turut melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung di sepanjang tepi jalan Tebingan Kuching, pemasangan lampu LED dan pengindahan landskap," ujarnya.

Mengulas lanjut, Abdul Wahap berkata, ia adalah usaha berterusan DBKU selaras dengan pelan penambahbaikan Cantik, Bersih dan Selamat Kuching atau dikenali sebagai pelan CBS Kuching.  - Sarawakiana

Comments