MKUCHING: Seorang suri rumah mengalami kerugian anggaran lebih RM10,000 apabila beg tangannya dikebas pencuri di pusat komersil RH Plaza di Jalan Lapangan Terbang di sini, hujung minggu lepas.
Dalam insiden sekitar 9 malam itu, wanita berusia 40-an itu dikatakan sedang mengeluarkan barang dari kereta apabila terdengar jeritan anaknyayang ternampak seorang lelaki membuka pintu depan secara tiba-tiba sebelum mengambil beg tangan mangsa.
“Lelaki yang tidak dikenali itu bagaimanapun sempat melarikan diri selepas mengambil beg tangan mangsa yang diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang depan,” kata sumber.
Mangsa difahamkan mengalami kerugian lebih RM10,000 apabila pelbagai barang termasuk sejumlah wang, jam tangan, barang kemas, telefon bimbit serta dokumen penting dilarikan.
Dalam kes berasingan, sebuah keluarga mengalami kerugian sekitar RM10,000 apabila kediaman mereka di Bormill Estate, Jalan Permata di sini dipecah masuk pencuri.
Insiden itu hanya disedari penghuni sekitar jam 9 malam apabila mendapati pintu dapur dalam keadaan terbuka, dipercayai dibuka secara paksa oleh pencuri.
Antara barang yang dikatakan hilang adalah beberapa utas jam tangan berjenama terkemuka, barang kemas, wang tunai termasuk mata wang asing serta dokumen penting.
Laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan. -Utusan Borneo Online
Comments
Post a Comment