Warga Emas Maut Dilanggar Lari Di Sibu

SIBU: Seorang wanita warga emas dipercayai menjadi mangsa langgar lari selepas mayatnya ditemui terbaring di tengah jalan di Kilometer 85 Jalan Sibu-Bintulu pagi semalam.

Mangsa, Sati Kumpan, 86, disah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.

Ketua Polis Daerah IPD Mukah DSP Jimmy Panyau berkata, pihaknya memberi amaran kepada pemandu bertanggungjawab agar menyerah diri sebelum tindakan lebih tegas diambil.

“Setakat ini, belum ada individu menyerah diri dan polis sedang berusaha mengesan suspek bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian pada jam 11 pagi semalam, warga emas berasal dari Rumah Mincan, Sungai Sebaya, Jalan Sibu-Bintulu itu dikatakan dalam perjalanan pulang berjalan kaki ke rumahtidak jauh dari tempat kejadian.

Sebelum insiden itu, mangsa dikatakan mengambil hasil hutan di kawasan seberang jalan berdasarkan bakul yang ditemui di sisinya.

Menurut Jimmy, berdasarkan siasatan ditempat kejadian, mangsa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan ketika sedang melintas jalan raya.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil ke mana-mana polis atau menghubungi talian Balai Polis Mukah di 084-871222 untuk membantu siasatan polis. -Utusan Borneo Online

Comments