KUALA LUMPUR - Penyanyi kelahiran Sarawak Dayang Nurfaizah diberi penghormatan menyanyikan lagu tema Sukan SEA 2017 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 atau Kuala Lumpur 2017.
Lagu itu adalah hasil gubahan komposer terkenal Datuk Ramli MS. Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, bersempena tempoh 100 hari menjelang temasya Sukan SEA 2017, rakyat Malaysia dipelawa untuk menyumbang idea bagi lirik lagu tema itu menerusi laman sosial dengan hashtag #laguKL2017.
"Saya dan Datuk Ramli sudah berbincang dan kita mahukan lirik disumbangkan rakyat. Saya harap rakyat Malaysia menghantar lirik melalui Twitter, Facebook dan Instagram masing-masing dengan meletakkan hashtag #laguKL2017 untuk Datuk Ramli gunakan ayat-ayat atau perkataan daripada rakyat bagi menggubah lagu tema KL 2017 kali ini," katanya kepada pemberita.
Khairy sebelum itu melancarkan majlis kiraan detik 100 hari menjelang penganjuran Kuala Lumpur 2017, di sini hari ini. - Bernama
Comments
Post a Comment