Dua Penduduk Di Samariang Terpaksa Lepaskan Penyamun Setelah Diugut 12 Rakan Penyamun

KUCHING:Polis Kuching kini sedang memburu sekumpulan 13 lelaki yang bertindak mengugut dua penduduk di sebuah taman perumahan di Samariang, dekat sini, yang sebelumnya berjaya menahan rakan mereka yang cuba melakukan jenayah pecah rumah.

Kes berlaku sekitar jam dua pagi kelmarin apabila kehadiran penyamun tersebut yang sedang memotong pagar rumah seorang penduduk di situ disedari oleh jirannya.

Jirannya kemudian menghubungi seorang lagi jiran yang lain dan mereka kemudian berjaya memberkas penyamun terbabit.

Bagaimanapun sejurus ditangkap, sekumpulan 12 lelaki yang bersenjatakan kayu dan pisau tiba-tiba muncul dan memgugut untuk mencederakan dua jiran terbabit jika rakan mereka tidak dibebaskan.

Kedua-dua penduduk yang kebetulan anggota Rukun Tetangga terpaksa melepaskan suspek bagi mengelak dicederakan.

Mereka kemudian membuat laporan polis susulan insiden berkenaan.Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan berkata, pihaknya sedang mengenal pasti identiti pihak yang terlibat.

“Kita akan melakukan tangkapan sejurus dapat mengesan mereka.Katanya, pihaknya memandang serius perkembangan modus operandi terbaharu penjenayah ini.

Beliau turut menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan berwaspada terhadap aktiviti jenayah yang berlaku awal pagi yang kini kembali.

Berdasarkan pola jenayah di bandar raya ini, jenayah tengah malam dan awal pagi melibatkan pecah rumah akan meningkat ketika musim perayaan semakin hampir. – Sarawakvoice

Comments