Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) di Sarawak antara pihak yang lega menerima pengumuman pemansuhan dasar kabotaj ke atas Sarawak dan Sabah.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berharap dasar baharu kabotaj berkenaan dapat membantu mengembangkan semula industri motor khusus bagi pemegang Permit Import (AP) terbuka yang dikatakan menurun.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini semasa mengunjungi Sabah, mengumumkan pemansuhan dasar kabotaj ke atas Sarawak, Sabah dan Labuan berkuat kuasa 1 Jun depan.
Sebelum ini, gagasan pemansuhan dasar kabotaj ini disuarakan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg melalui rancangan “Bersama Ketua Menteri Sarawak” siaralangsung TV1 RTM sempena 100 hari Abang Johari sebagai Ketua Menteri.
Melalui dasar baharu itu, barangan import untuk keperluan Sarawak, Sabahdan Labuan tidak lagi perlu memasuki Pelabuhan Klang sebaliknya terus ke negeri di Malaysia Timur sendiri.
Justeru, dengan dasar terkini 1 Jun nanti aktiviti penghantaran atau pengimportan kenderaan dari negara luar seperti Jepun atau tempat lain dihantar terus ke Sarawak dan Sabah.
Abdul Karim berkata langkah tersebut membantu mengurangkan kos perbelanjaan yang ditanggung Pekema Sarawak semasa dasar kabotaj masih berjalan.Berucap pada Majlis Makan Malam Pekema di Sunset Ballroom Damai Beach Resort, Sabtu malam, Abdul Karim percaya industri perniagaan kenderaan import yang dijalankan ahli Pekema mampu berkembang semula.
Berkaitan persaingan sengit Pekema dengan syarikat francais lain, Abdul Karim mengesyorkan selain menyerah kepada kreativiti pengusaha, Pekema Sarawak disyorkan proaktif membantu mempromosi dan memasarkan produk pengusaha.
Sementara pada majlis yang sama, Presiden Pekema Datuk Zainuddin Abdul Rahman menggesa kerajaan mempercepat keputusan permohonan pengecualian 30 peratus cukai import yang dikenakan ke atas ahli Pekema.
Beliau membandingkan pengecualian 30 peratus import kereta yang dinikmatioleh syarikat francais.
Menurut Zainuddin, cadangan pengecualian cukai 30 peratus bagi kereta import berada dalam pengetahuan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.Zainuddin, memberi contoh sekiranya cukai import 30 peratus dikecualikan harga jualan Toyota Alpard dapat dikurangkan antara RM18,000 hingga RM25,000 sebuah. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment