Suspek Kes Bunuh Di GV Karaoke Sembunyi Kerambit Di Dalam Reban Ayam

KUCHING: Senjata yang dipercayai diguna untuk membunuh seorang lelaki di Jalan Abang Abdul Rahim pada 22 Mei lalu telah dijumpai diselit direban ayam di rumah suspek utama di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai (gambar) berkata, senjata berupa kerambit itu dijumpai di reban ayam di rumah suspek utama sekitar jam 10.30 pagi pada 23 Mei lalu.

"Kerambit yang digunakan dalam  kesbunuh seorang lelaki di Jalan Abang Abdul Rahim pada 22 Mei telah dijumpai yang disembunyikan oleh suspek utama di reban ayamnya di rumahnya.

"Penemuan senjata bunuh ini hasil pandu arah suspek sendiri di mana kita turut menjumpai sarung kaki yang masih ada kesan darah yang digunakan suspek untuk membungkus kerambit tersebut," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di Padang Kawad IPD di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa, Shamsul Hipni, 41 tahun dari Bandar Baru Samariang,  ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dan badan selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah pusat karaoke, sekitar jam 3.00 pagi di Jalan Abang Abdul Rahim.

Ekoran itu, seramai tujuh suspek berjaya diberkas termasuk seorang suspek utama kes berkenaan. -Utusan Borneo Online

Comments