Polis tangkap enam pelajar positif dadah di Tebedu

KUCHING: Seramai enam pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Tebedu, Serian diserahkan kepada pihak polis selepas disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah, semalam.

Difahamkan seorang daripada mereka didapati memiliki bungkusan lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis Syabu yang kemudian membawa kepada penangkapan lima lagi pelajar berusia lingkungan 14 hingga 17 tahun.

"Guru disiplin melakukan pemeriksaan mengejut ke atas beberapa orang pelajar apabila seorang daripada pelajar berusia 16 tahun didapati memiliki dadah jenis Syabu seberat kira-kira 0.66 gram.

"Susulan itu, lima lagi pelajar termasuk seorang pelajar Tingkatan Dua ditahan dan diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Tebedu sebelum tindakan selanjutnya diambil oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian," kata sumber.

Selain itu, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas keenam-enam pelajar terbabit juga disahkan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Superintenden SaharAbdul Latif semasa dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. -Utusan Borneo Online

Comments