Lelaki Tertusuk Besi Penghadang Pagar Ketika Merompak Di Petra Jaya, Ditangkap Ketika Dapatkan Rawatan Di Hospital

KUCHING: Cubaan seorang lelaki untuk memecah masuk ke dalam sebuah rumah di Taman Tatai Kumang dekat sini menjerat diri, apabila mengalami kecederaan selepas tertusuk besi pagar rumah mangsa yang diceroboh.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai memberitahu, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu oleh seorang jurutera berusia 49 tahun sekitar jam 8.20 pagi Selasa lalu.

“Beliau melaporkan bahawa terdapat kesan tompokan darah di sebelah kiri tiang pintu pagar utama rumahnya di Taman Tatai Kumang, Siol Kandis.

“Siasatan lanjut kemudian mendapati besi atas penghadang pagar di bahagian tepi rumah tersebut bengkok manakala sebelah selipar tersangkut pada bahagian besi pagar pintu hadapan, juga dengan kesan darah.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada barang berharga yang hilang dari rumah tersebut.

“Pemeriksaan lain kemudian mendapati rumah jiran pengadu yang merupakan seorang doktor juga disyaki dicerobohi oleh suspek yang sama, tetapi juga tiada barang yang hilang.

Kata Abang Ahmad, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching kemudian telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki Melayu ketika dia mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak.

“Suspek berumur 27 tahun dan berasal dari Kampung Pulo Hulu, Petra Jaya.

“Semakan rekod mendedahkan suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Jelas Abang Ahmad, kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah.

Sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara hingga enam bulan atau denda RM3 ribu atau kedua-duanya. – Sarawakvoice

Comments