Siasatan Kes Hina Bapa Watson Nyambek Selesai

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan siasatan kes penghinaan keatas mendiang bapa bekas pelari pecut negara Watson Nyambek dalam satu rancangan Sukan Tak Sentral baru-baru ini.

Menerusi program berkenaan, hos program itu Azizul Ammar Abu Hassan atau Ammar mempersendakan nama mendiang bapa Watson dengan menyamakan dengan bunyi seekor binatang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata, kertas siasatan telah dilengkapkan dan dikemukakan ke Pejabat Peguam Negara.

“Tindakan susulan akan dilakukan dalam masa terdekat selepas perbincangan dan keputusan diambil," katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Trim & Fit Mega PDRM Kontinjen Sarawak di sini pagi tadi.

Jelasnya, kes disiasat dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas kesalahan penghinaan yang disengajakan untuk mencetuskan gangguan.

Tertuduh jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya. -Sarawakiana

Comments