Wanita Lahir Anak Dalam Kereta Di Kota Samarahan, 3 Anggota Polis Wanita Terpaksa Jadi Bidan Terjun

Kota Samarahan: Seorang wanita selamat melahirkan bayi lelaki di dalam keretanya dengan bantuan tiga anggota polis wanita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan di sini, kelmarin.

Difahamkan, wanita berusia 23 tahun itu dan berasal dari Tanjung Bundong, Kota Samarahan tiba di pekarangan IPD Kota Samarahan bersama suaminya sekitar jam 7 pagi untuk mendapatkan bantuan dihantar ke klinik berdekatan.

Bagaimanapun, wanita terbabit mengerang kesakitan mahu bersalin menyebabkan tiga anggota polis wanita iaitu Koperal Suria Lapoh dan Fauziah serta Lans Koperal Norfaradilah menjadi bidan terjun.

“Wanita terbabit sedang sakit hendak bersalin semasa tiba di pekarangan IPD Kota Samarahan menyebabkan tiga anggota polis wanita yang sedang bertugas menjadi bidan terjun.

“Seorang bayi lelaki seberat 3.2 kilogram berjaya dilahirkan oleh wanita terbabit yang disambut oleh ketiga-tiga anggota polis wanita tersebut di dalam keretanya,” kata sumber.

Wanita serta bayinya kemudian dihantar ke klinik berdekatan untuk rawatan lanjut.Biro Kebajikan PERKEP dan AMANITA IPD Kota Samarahan juga meluangkan masa melawat wanita dan bayinya itu semalam, serta turut menyampaikan sumbangan.

“Wanita terbabit bersama bayinya dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih dalam pemantauan pihak klinik,” kata sumber.-Utusan Borneo Online

Comments