Warga Emas 67 Tahun Dipenjara 15 Tahun Kerana Rogol Kanak-Kanak Guna Jari Di Samariang

KUCHING: Terbuang usia 20 tahun di penjara kerana merogol seorang gadis bawah umur nyata tidak menginsafkan seorang warga emas berusia 67 tahun.

Lelaki pedofil yang dikenali sebagai Uncle Liu atau nama sebenarnya Peter Liaw Ten Sian, sebaliknya kembali mengganas; bukan sekali tetapi dua kali terhadap seorang kanak-kanak berusia 9 tahun 7 bulan.

Menurut fakta kes, kejadian berlaku sekitar jam 5 petang pada 8 April lalu, ketika mangsa menonton televisyen di rumahnya di Kampung Semariang Batu, dekat sini.

Lelaki hidung belang yang juga rakan keluarga kemudian masuk ke rumah tersebut dan menonton televisyen bersama-sama mangsa.

Sekitar 20 minit kemudian ketika mangsa berseorangan di rumah, suspek telah memanggil mangsa untuk masuk ke bilik utama di rumah berkenaan sebelum memintanya berbaring di atas katil.

Mangsa kemudian dibogelkan, dan suspek menyerahkan telefon bimbitnya untuk dimain mangsa.

Setelah itu suspek meletakkan jarinya ke dalam mulut sebelum memasukkannya ke dalam alat sulit kanak-kanak terbabit.

Perbuatan itu berakhirnya 10 minit kemudian dan suspek telah mengugut mangsa agar tidak memberitahu sesiapa, terutama kedua-dua ibu bapanya.

Empat hari kemudian, suspek sekali mengulangi perbuatan yang sama ketika mangsa juga berseorangan di rumah.

Selepas membogel mangsa, suspek telah menindihnya sebelum mengulangi perbuatan meletakkan jari ke dalam alat sulit gadis tersebut.

Akibat perbuatan tersebut, mangsa mengalami kesakitan ketika membuang air kecil dan memberitahu ibunya mengenai insiden tersebut.

Setelah mengambil kira tertuduh sebagai pedofil berulang, yang mengulangi perbuatan biarpun baharu bebas daripada hukuman 20 tahun kerana perbuatan yang sama, Hakim Mahkamah Sesyen Timothy Finlayson Joel telah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kepada lelaki tersebut untuk tuduhan pertama, dan lapan tahun untuk tuduhan kedua.

Hukuman berlangsung sejak tarikh suspek ditangkap pada 17 April lalu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yong Ann Nee di bawah Seksyen 377(c)(a) Kanun Keseksaan kerana merogol menggunakan apa-apa objek. – Sarawakvoice

Comments