Abang Jo Akan Keluarkan Kenyataan Rasmi Isu Cukai Pelancongan Dan Nazri VS Karim

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu Cukai Pelancongan dalam sedikit masa lagi.

Menurut sumber Pejabat Ketua Menteri Sarawak, kenyataan itu dilakukan susulan pertemuan di antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak di pejabatnya di Putra Perdana, Putrajaya, petang semalam.

“Selain berbincang isu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pujut, agenda lain termasuklah isu berkaitan perselisihan pendapat di antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Pusat, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Kenyataan itu dijangka dapat meredakan ketegangan di antara kedua-dua belah pihak, yang menyebabkan reaksi tidak selesa dalam kalangan rakyat Sarawak,” kata sumber itu lagi.

Perang dingin di antara kedua-dua belah pihak tercetus setelah Abdul Karim mempertikai dan meminta penangguhan pelaksanaan Cukai Pelancongan yang akan diimplementasikan di seluruh negara pada 1 Julai depan.

Ini kerana ia diluluskan di Parlimen pada April tanpa melalui proses rundingan dengan Kerajaan Negeri.

Nazri kemudian membalas dengan mengatakan Abdul Karim sebagai “setahun jagung”, “jahil” dan “berlagak samseng” apabila melakukan kritikan — yang kemudian menjadi tular hingga menerima kecaman ribuan netizen.

Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Sarawak yang akan bermesyuarat pada 22 Jun ini juga dijangka akan membincangkan isu cukai ini. – Sarawakvoice

Comments