Dua Lelaki Miliki Dadah Syabu Dicekup Polis Di Kuching

KUCHING: Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuching malam semalam berjaya menahan dua lelaki Cina tempatan kerana disyaki terlibat dalam memiliki dan mengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, tangkapan dilakukan selepas satu serbuan terhadap sebuah rumah di Jalan Sim Kheng Hong, dekat sini sekitar jam 11.40 malam tadi.

“Serbuan dilakukan hasil maklumat awam,” katanya lagi.

Pemeriksaan lanjut katanya, menjumpai satu bungkusan plastik berwarna hitam di atas meja di ruang tamu rumah tersebut.

“Di dalamnya terdapat satu paket plastik cerah berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Syabu dengan anggaran berat 50.93 gram dan anggaran nilai pasaran RM9167.40.

Kata Abang Ahmad, hasil saringan urin pula mendapati kedua-dua suspek yang berumur sekitar 35 ke 53 tahun positif Methaphetamine.

“Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Sarawakvoice

Comments