LCCT Kuching Akan Dibina Berhampiran Airport Kuching

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mengesahkan Kerajaan Negeri dalam proses rundingan dengan AirAsia membina Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Selepas menghadiri Program Ihsan Ramadan Satok di Dewan Dato Hajah Juma’ani Sekolah Kebangsaan Rakyat Abang Johari berkata LCCT berkenaan dibina di tapak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Kawaan berhampiran LTAK menjadi pilihan perbincangan tersebut memandangkan di situ sudah tersedia prasarana dan kemudahan lengkap.

Pada 5 Jun lepas, Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata cadangan pembinaan LCCT positif memandangkan LTAK mencapai kapasiti maksimum lima juta penumpang setahun.

Bercakap pada sidang media menyambut ketibaan penerbangan sulung AirAsia dari Pontianak-Kuching di LTAK, Karim mengalu-alukan cadangan masa depan AirAsia itu.

Menurut Karim, pembinaan LCCT AirAsia di Kuching turut mampu menjadikan bandar raya ini sebagai hab dan pintu masuk serantau AirAsia di Sarawak.

Dengan berfungsinya LCCT kelak, lebih banyak kemudahan lain seperti hotel dipertingkatkan demi kemudahan pelancongan.

Sementara, AirAsia menurut Ketua Pegawai Eksekutif Aireen Omar, komited membantu membangunkan Sarawak sebagai destinasi utama percutian dan hab serantau bagi pengembara memasuki Borneo.

“Kami rasa ada banyak potensi pertumbuhan di negeri ini (Sarawak) dan kami sedang mengkaji semula kesalinghubungan secara langsung dari negara Asean, China, Indochina, Asia Utara, Australia dan banyak lagi,” kata Aireen selepas menyambut sekumpulan pelancong Indonesia yang tiba di Kuching menaiki penerbangan sulung AirAsia Pontianak-Kuching.

Menurut Aireen AirAsia sudah membawa 17 juta penumpang dari/ ke Kuching.

Kiji destinasi Kuching dari/ ke 10 destinasi; Miri, Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Singapura dan Pontianak mengoperasi 468 penerbangan seminggu.

Memandangkan LTAK mencapai kapasiti lima juta penumpang, perancangan meningkatkan kapasiti diperlukan bagi memenuhi keperluan yang semakin bertambah. – Sarawakvoice


Comments