RABIES Alert: Tiga kes virus anjing gila dikesan di Serian, Kementerian Kesihatan keluarkan amaran kesihatan — Ketua Pengarah

KUCHING: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan terdapat tiga kes kanak-kanak telah dijangkiti virus rabies atau “anjing gila” di daerah Serian, Sarawak.

Dalam satu kenyataan hari ini, Dr Noor Hisham memberitahu, pada 29 Jun lalu, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak berkaitan tiga kes viral encephalitis yang telah dimasukkan ke wad di Hospital Umum Sarawak (SGH) yang disyaki dijangkiti virus rabies.

Gambar fail

“Pada semalam, keputusan makmal bagi ketiga-tiga kes adalah positif bagi virus rabies

Kes pertama katanya, melibatkan kanak-kanak lelaki, berumur 4 tahun dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian.

“Kanak-kanak itu mula mengalami demam sejak 5 Jun lalu dan telah mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Balai Ringin, Serian pada hari yang sama.

“Bagaimanapun, keadaan kes semakin tenat dan mengalami kesukaran bernafas dengan perubahan tingkah laku, bersifat agresif dan hidrofobia (takut akan air atau takut minum air).

Pada 8 Jun katanya, kes telah dimasukkan ke wad di Hospital Serian dan selanjutnya pada keesokannya, dirujuk ke SGH bagi rawatan lanjut.

“Keadaan pesakit tenat dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi, SGH.

Kes mempunyai sejarah gigitan anjing kira-kira 2 ke 3 bulan sebelum onset gejala.

Kes kedua katanya melibatkan kanak-kanak perempuan, berumur enam tahun dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian.

“Pesakit ini merupakan kakak kandung kepada pesakit pertama.

“Pesakit mulai mengalami demam pada 12 Jun dan pada 14 Jun dibawa ke Klinik Kesihatan Balai Ringin kerana demam yang melarat, selain perubahan tingkah laku serta agresif.

Kes katanya, telah dibawa ke Hospital Serian pada 15 Jun dan pada 16 Jun, dirujuk ke SGH untuk rawatan lanjut.

“Keadaan pesakit juga tenat dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, SGH.

“Pihak JKN Sarawak sedang berusaha untuk mendapatkan sejarah gigitan anjing pada kanak-kanak ini.

Kes ketiga kata Dr Noor Hisham, melibatkan kanak-kanak perempuan, berumur 7 tahun dari Kampung Lebur, Gedong.

“Pesakit mula mengalami demam pada 23 Jun dan keesokan harinya, telah mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Serian.

“Keadaan pesakit semakin merosot dan mengalami perubahan tingkah laku serta bersikap agresif dan hidrofobia.

Pada 28 Jun, katanya, pesakit telah mengalami sawan (fit) dan terus dikejarkan ke SGH.

“Keadaan pesakit tenat dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, SGH.

“Kes mempunyai sejarah gigitan anjing kira-kira sebulan sebelum onset gejala.

Penyakit rabies merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Lyssavirus daripada haiwan seperti anjing yang dijangkiti rabies.

Rabies berjangkit melalui luka gigitan, luka terbuka pada kulit dari air liur, cairan atau tisu tubuh daripada haiwan tersebut kepada manusia.

Masa inkubasi rabies adalah tiga minggu hingga dua bulan daripada gigitan haiwan rabid hingga timbul gejala.

Individu yang dijangkiti rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia, lumpuh dan koma.

Rabies merupakan penyakit yang menyebabkan kematian 100 seratus peratus jika tanda-tanda penyakit telah timbul.

Pihak JKN Sarawak kata Dr Noor Hisham lagi, telah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan ke atas kejadian ini melalui aktiviti berikut.

“Pengurusan kes jangkitan rabies dengan  mengeluarkan ‘health alert’ kepada semua pengamal perubatan.

“Kita juga membuka bilik gerakan untuk memantau kejadian dan menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan wabak.

Jabatan katanya, turut mengukuhkan aktiviti survelan pemantauan kes gigitan anjing dan haiwan liar, selain mengukuhkan pengurusan kes gigitan anjing dan haiwan liar.

Pada masa yang sama, jabatan turut menyediakan stockpail vaksin rabies yang mencukupi serta meningkatkan aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan penyakit rabies dan langkah pencegahannya.

KKM katanya, turut menasihati orang awam yang tinggal di daerah Serian agar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan penyakit rabies.

Mereka dikehendaki mendapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika telah mengalami gigitan anjing peliharaan yang agresif atau anjing liar.

“Penduduk juga harus pastikan anjing peliharaan mereka telah mendapatkan suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak bersama anjing liar.

“Jika anjing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif, dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar setempat.

Laporan kepada Pihak Berkuasa Tempatan juga perlu dibuat jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal.

“Orang ramai juga disaran agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing peliharaan.

KKM juga telah mengingatkan daerah-daerah lain yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia supaya meningkatkan pemantauan kes gigitan anjing di daerah masing-masing.

“KKM akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi lain yang berkaitan bagi memastikan jangkitan virus rabies dalam kalangan manusia dapat dikawal dan tiada penularan lanjut berlaku,” jelasnya. – Sarawakvoice

Comments