KUCHING: Projek perumahan fasa pertama Darul Hana bermula Mei lepas, berjalan sekitar dua tahun dan dijangka siap menjelang awal 2020.
Dengan siapnya 506 rumah dalam pelbagai bentuk; rumah semi-D setingkat dan dua tingkat, teres dua tingkat dan setingkat, kumpulan pertama terdiri daripada 484 ketua isi rumah dipindahkan ke penempatan baru Darul Hana ini.
Projek fasa pertama ini melibatkan perpindahan penduduk Kampung Panglima Seman Lama, Semarang dan Pulo Hulu.
Menurut Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Dr. Haji Abdul Rahman Junaidi, projek pembangunan Darul Hana keseluruhannya mengambil tempoh sehingga 15 tahun untuk direalisasikan melibatkan pemindahan 12 kampung tradisional di Seberang Hilir.
Kampung sedia ada ini seperti Boyak, Gersik, Sourabaya, Panglima Seman, Semarang, Pulo, Bintawa dan sebagainya sudah wujud di tebingan seberang, sebelum pemerintahan Brooke lagi.
Tapak asal perkampungan yang berderetan sepanjang tebingan seberang ini memerlukan naik taraf daripada pembinaan rumah yang rapat, memiliki jalan raya sempit, selain menghadapi masalah perparitan.
Bercakap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada Rabu, Abdul Rahman berkata dalam projek Darul Hana, tapak asal ini dibangunkan menjadi puat komersial dipenuhi kemudahan riadah, tapak niaga, pejabat serta pembinaan hotel.
Pembinaan tebingan sambungan dari Boyan-Bintawa akan diteruskan sebagai sebahagian daripada projek tebingan seberang.
Penempatan baharu penduduk dengan penerusan fasa kedua dan seterusnya dalam tempoh sedekad di penempatan baharu Darul Hana memberi kemudahan moden seperti rumah, jalan raya, sistem perparitan termasuk kemudahan dewan, riadah dan sebagainya. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment