Lelaki Dijatuhkan Hukuman Penjara 6 Tahun Dan 10 Sebatan Kerana Memiliki Ganja Di Taman Puteri

KUCHING: Mahkamah Tinggi Kuching pagi tadi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan 10 sebatan terhadap seorang lelaki setelah didapati bersalah memiliki 1,094.07 gram ganja.

Hakim Celestina Stuel Gali membuat keputusan tersebut setelah tertuduh, Awang Mohd Khairul Anwar Abang, 20 tahun mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan.

Mohd Khairul disabitkan di bawah Seksyen 6,  Akta Dadah Berbahaya 1952, yang dibaca bersama Seksyen 39A (2), akta yang sama.

Melakukan kesalahan tersebut sekitar jam 12.30 petang, 27 Julai lalu di Taman Puteri dekat sini, tertuduh telah membuat pengakuan yang dia menyesali tindakannya, dan proses reman 10 bulan sejak penahanannya telah menginsafkannya.

Tertuduh turut merayu dengan menyatakan alasan ia adalah kesalahan jenayah pertamanya dan tiada rekod lampau.

Hakim kemudian memerintahkan hukuman dijalankan serentak dengan tarikh tertuduh ditahan.

Difahamkan dadah tersebut ditemui di dalam beg di dalam rumah tertuduh ketika serbuan dilakukan.

Tertuduh mendakwa beg itu milik rakannya dan dia menjaganya untuk seketika.

Tertuduh yang bekerja membantu bapanya di ladang milik keluarga juga tidak pasti akan kandungan beg tersebut.

Mohd Khairul diwakili Roger Chin dan Osman Ibrahim manakala pendakwaan dilakukan Penolong Pendakwa raya, Hayda Faridzal Abu Hasan. -SarawakVoice

Comments