KUCHING: Pepatah ada mengatakan, jerat tidak akan lupakan pelanduk. Itu berlaku kepada seorang lelaki yang diburu polis kerana beberapa kes di beberapa daerah di negeri ini, termasuk satu kes menetak putus hari anak saudaranya sendiri.
Suspek akhirnya tersungkur apabila dicekup oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan memberitahu, suspek ditangkap sekitar jam 1 pagi (waktu tempatan) di salah satu kafe di Kecamatan Badau.
Tangkapan dilakukan oleh pihak TNI daripada Batalion 502/Ujwala Yudha Para Raide, yang sekali gus menggagalkan aktiviti penyeludupan dan jual beli kenderaan Malaysia nombor pendaftaran Sarawak jenis Proton Saga.
“Identiti suspek kemudian dikenal pasti sebagai Ringkai Endawie, 31 tahun dari Taman Samar Indah, Kota Samarahan.
“Semakan lanjut mendapati suspek memiliki rekod jenayah dan diburu di daerah pentadbiran polis di Betong dan Padawan.
Kata Aidil, berdasarkan siasatan kes kecurian kenderaan, suspek telah menjual kenderaan tersebut kepada individu bernama Lawang, rakyat Indonesia di Kecamatan Badau pada harga RM7 ribu tanpa sebarang dokumen.
“Ia dipercayai kenderaan curi tetapi belum ada laporan diterima berhubung kehilangan kereta tersebut oleh tuan punya.
Ketika ini kata Aidil, suspek telah dibawa dari Badau menuju ke Jabatan Imigresen Putussibau untuk tindakan lanjut.
“Sehubungan itu, wakil kedutaan Malaysia di Pontianak kini sedang berurusan dengan pihak Imigresen Indonesia untuk membawa keluar suspek dari Indonesia melalui PLBN Badau/ ICQS Lubok Antu pada tarikh dan masa yang akan ditentukan kemudian.
Pada bulan lalu, suspek yang sama telah bertindak menetak putus jari kelingking anak saudaranya, yang berusia lapan tahun kerana dendam kepada bapanya.
Dalam kejadian di Batu 10, Jalan Penrissen itu, lelaki terbabit menjadikan kanak-kanak perempuan itu sebagai mangsa selepas bapa mangsa melaporkan penglibatannya dalam aktiviti pecah rumah di Lundu pada tahun lalu. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment