Mana Keadilan, Soal PKR selepas 3 lelaki terlepas tuduhan bunuh Bill Kayong


PETALING JAYA: PKR berkata keputusan mahkamah hari ini untuk melepaskan 3 lelaki yang dituduh membunuh aktivis Bill Kayong tanpa mengarahkan pembelaan diri menyerlahkan beberapa kebimbangan rakyat negeri itu terhadap keadilan, di samping kecekapan pihak pendakwaan dalam kes itu.

“Di mana keadilan? Ini merupakan hari gelap untuk kita semua,” kata Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, beberapa jam selepas Mahkamah Tinggi Miri melepaskan ahli perniagaan Datuk Stephen Lee Chee Kiang dan 2 lelaki lain yang dituduh membunuh aktivis Bill Kayong tahun lalu.

“Sekali lagi, mesej kepada penduduk Sarawak ialah, tiada apa-apa yang boleh dilakukan untuk menyekat penindasan masyarakat mereka dan penafian hak mereka,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Ravinthran N Paramaguru berkata pihak pendakwa tidak berjaya memberikan bukti secukupnya mengenai penglibatan Lee serta pembantu peribadinya Chin Wui Ching, 50, dan pemilik pub Lie Chang Loon, 37, yang dituduh bersubahat dalam pembunuhan Bill, yang juga setiausaha PKR Miri.

Bagaimanapun, Ravinthran memerintahkan Mohamad Fitri Pauz, 30, yang dituduh menembak mati Bill pada 21 Jun, 2016, membela diri.

Keputusan membebaskan Lee mencetuskan kemarahan ahli keluarga dan kenalan Bill, yang mengadakan protes di luar mahkamah.

Bill, atau nama Islamnya, Mohd Hasbie Abdullah, ditembak mati di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya di lencongan Jalan Kuala Baram.

Baru berkata kecekapan pendakwaan memainkan peranan besar dalam keputusan hakim.

“Sesuatu keputusan adalah berdasarkan bukti dibentangkan kepada mahkamah, dan tanpa hujah kuat, pihak pendakwaan gagal melepasi peringkat pertama,” katanya.

Susulan pembunuhan Bill, polis melancarkan pemburuan merentas sempadan bagi menangkap Lee.

Lee dipercayai ke Singapura 2 hari selepas itu, sebelum ke Australia 10 hari kemudian. Ia memaksa polis meminta bantuan Interpol.

Baru berkata sekiranya benar Lee tidak bersalah, mengapa dia melarikan diri ke Australia dan kemudian ke China.

“Selepas pelbagai usaha untuk menangkapnya, dia dibebaskan kerana tiada bukti?” tanya Baru.

“Bagaimana tahap kecekapan timbalan pendakwa raya dalam menangani kes jenayah besar?

“Apakah pihak pendakwaan benar-benar cuba membangunkan sebuah kes yang kuat?” -Free Malaysia Today

Comments