Aidilfitri sepi tanpa Tok Nan, tetapi saya perlu kuat tunaikan hasrat arwah — Jamilah

“Tentunya saya berasa sedih. Tetapi saya perlu kuat. Malah saya pilu sejak malam tadi (Ahad), terkenangkan Allahyarham di malam raya,” akui balu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Datuk Amar Jamilah Anu.

Ini merupakan Aidilfitri pertamanya tanpa suami tercinta, sementelah pada tahun lalu, mereka meraikan sambutan ini bersama-sama rakyat di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK).

“Tetapi saya perlu kuat! Kerana itu saya undang ustaz dan tahfiz untuk bersama-sama mengimarahkan rumah ini malam tadi (Ahad) berjemaah Maghrib dan Isya’, sebelum bertakbir,” katanya ketika ditemui di kediamannya, Damai Jaya.

Katanya, beliau sedar di belakangnya kini terbuhul tanggungjawab besar.

“Kalau arwah masih hidup pun, pastinya beliau tidak mahu saya bersedih.

“Masih terngiang-ngiang akan pesanannya setiap kali di lapangan terbang yang tidak mahu saya dan anak-anak menangis ketika menghantarnya.

Arwah katanya berkata: “Jangan sesekali menangis di lapangan terbang kerana saya tidak mahu berlepas dengan air mata, atau sedih.”

Pesanan itu kata Jamilah, menjadi pegangannya. Beliau yakin jika fizikalnya kuat dan sihat, beliau akan dapat membantu lebih banyak orang, seperti yang dihajati oleh arwah.

“Arwah sentiasa berusaha pastikan tetamu yang hadir ke majlisnya, terutama pada Ramadan dan Syawal tidak pulang dengan tangan kosong.

“Sebab itu saya teruskan amalan sejak 30 tahun lalu ini. Sekurang-kurangnya mereka dapat air dan kurma,” imbasnya.

Jamilah, yang terkenal dengan keenakan air tangannya menyediakan sendiri juadah Aidilfitri, biarpun sibuk dengan tugasan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu.

Biarpun tidak mengadakan Rumah Terbuka rasmi, namun kunjungan rakyat tidak pernah putus. Beliau berusaha sendiri untuk melayani tetamu yang hadir, biar seketika.

Pada pagi Aidilfitri ini, Jamilah terus memasak makanan kegemaran arwah seperti nasi goreng dabai, kurma dan kari kambing, lemang, kelupis dan sup tulang kerbau.

“Arwah memang suka apabila orang datang berkunjung … malah sehingga seminggu tidak pernah surut.

“Yang datang bukan sahaja dari Tanjong Datu, malah dari Muara Tuang.

Kata Jamilah, beliau memang terasa kosong pada Syawal ini selepas 38 tahun meraikannya bersama.

Mengenai kawasan, Jamilah yang mula bersama rakyat sejak Mei lalu, selepas tamat tempoh edah, memberi fokus kepada janji-janji pelbagai pemimpin sepanjang pilihan raya kecil yang lalu.

“Saya cuba pastikan janji-janji ini dipenuhi. Sekurang-kurangnya 70 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Antara projek besar ini termasuk menubuhkan pusat matrikulasi dan pusat kecemerlangan teknikal selain Jambatan Rambungan.

Turut menemani Jamilah adalah dua anaknya, Azizah dan Azizul, menantu dan cucu. – Sarawakvoice


Comments