Pemimpin SUPP Dudong Cedera Disimbah Asid Di Sibu

SIBU: Hasrat Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong untuk menjadi calon bagi kerusi Parlimen Lanang mungkin sukar apabila melecur pada muka dan bahagian kiri badan selepas disimbah dengan cecair dipercayai asid tengah hari tadi.

Dalam kejadian pada jam 12.15 tengah hari, beliau dikatakan baharu sahaja selesai menjalankan urusan kerja di pejabatnya di Jalan Bindang.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Saiful Bahri Abdullah berkata, mangsa berumur 59 tahun sedang menuju ke kereta yang di parkir di Lorong Tuanku Osman 4, iaitu 30 meter daripada pejabatnya apabila dua lelaki tidak dikenali memanggil namanya.

Tanpa disangka, beliau menoleh dan seorang daripada mereka terus menyimbah cecair ke muka dan badan mangsa. Wong kemudian bergegas ke sebuah kedai buku berdekatan untuk mencuci muka, tangan dan badannya.

"Mangsa mengalami kesan lecur di bahagian muka dan badan sebelah kiri sebanyak 19 peratus," kata Saiful. Beliau kemudian dihantar oleh abangnya ke sebuah pusat pakar perubatan swasta untuk menerima rawatan.

Menurut KPD, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana disyaki mendatangkan kecederaan dengan cecair yang menghakis. Polis kini sedang mengesan suspek. - Utusan Borneo Online

Comments