Pemain sape profesional Saufi Aiman Yahya melakar sejarah buat Malaysia apabila berjaya membawa pulang empat pingat emas daripada Kejohanan Dunia Pertunjukan Seni ke-21 (WCOPA) di Amerika Syarikat.
Pemuzik kelahiran Kuching, Sarawak berusia 27 tahun itu mendapat tempat pertama dalam kategori Terbuka, Jazz, Kontemporari dan Klasik atau Tradisional.
“Memang sudah menjadi impian saya untuk mewakili Malaysia pada peringkat antarabangsa, apatah lagi memenangi pingat ini semua,” katanya kepada Malaysiakini
Saufi turut memenangi tiga gelaran Juara Dunia dalam kategori Jazz, Kontemporari dan Klasik atau tradisional, begitu juga pingat perak dalam kategori Karya Asli.
Juga dikenali sebagai “Talent Olympics”, WCOPA adalah pertandingan antarabangsa khusus untuk penghibur dan bakat muda bercita-cita tinggi yang diadakan secara tahunan di Long Beach, California.
Seramai 14 bakat tempatan termasuk Saufi mengambil bahagian dalam pertandingan yang berlangsung bermula dari 39 Jun hingga 9 Julai tahun ini.
Saufi mengakui pertandingan berkenaan memberikan cabaran besar buatnya dan kemenangan itu adalah hasil usaha, termasuk susulan pemilihan instrumen yang tepat, iaitu sape dan kebolehan untuk memainkan alat itu.
“Persaingan amat sengit. Saya andaikan instrumen sape di samping bakat memainkan alat muzik itu telah menyerlahkan kebolehan yang ada,” katanya.
Sape disebut sa-peh adalah alat muzik tradisional suku kaum Kenyah, Sarawak. -Malaysiakini
Comments
Post a Comment