Anjing Zombie Gigit Warga Emas Ketika Tidur Di Kampung Paon Sungai Rimu Bakung

SERIAN: Sejak sebulan lalu, anjing-anjing yang telah dijangkiti virus rabies telah mula menyerang dan menggigit penduduk Kampung Paon Sungai Rimu Bakung di Serian, Sarawak.

Menurut mangsa, mereka diserang dan digigit anjing tersebut secara tiba-tiba, hingga menyebabkan kawasan gigitan berdarah.

Bagaimanapun kebanyakan mangsa segera mendapatkan rawatan di hospital bagi mengelakkan jangkitan, apatah lagi melihatnya tingkah laku anjing tersebut agak pelik.

Seorang mangsa, Miah ak Sidin, 72 tahun mengalami demam setelah digigit anjing tersebut ketika tidur siang pada hari Gawai yang lalu.

Menurut suaminya, Stephen Empudot, ketika kejadian, Miah sedang berehat di bilik stor di belakang rumahnya, sebelum didatangi seekor anjing lalu menggigit tangannya.

“Dia terkejut dan selepas menggigit, anjing itu lari.

“Tangan isteri saya berdarah. Di bahagian atas tangan terdapat empat bekas gigitan dan di bawah lengan, dua kesan tetapi dalam.

Kata Stephen, isterinya terus berlari ke luar, dan memanggil anaknya.

“Saya dimaklumkan tentang kejadian itu dan bergegas pulang dari ngabang untuk membawa dia segera ke hospital.

“Setiba di hospital, isteri telah diberikan suntikan, dan saya difahamkan, ia bukanlah kes yang pertama.

“Ada wanita lain yang turut menjadi mangsa gigitan anjing,” katanya.

Jelasnya, melihat keadaan anjing itu, mereka yakin ia sakit.

“Jalan pun macam mabuk. Anak-anak saya kemudian segera mengejar dan membunuhnya apabila sekali lagi ia datang ke rumah kami,” katanya lagi.

Selepas wabak ini disahkan oleh pihak berkuasa, Miah perlu menjalani empat kali suntikan bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini.

Pengalaman yang sama dikongsi seorang lagi mangsa, Augustine Kabong.

“Pada hari malang itu, saya berjalan dari rumah ke rumah untuk melaksanakan tugas sebagai Ketua Pekebun Kecil di kampung.

“Ketika keluar dari rumah ipar saya, tiba-tiba anjing betina peliharaannya datang dan menggigit kaki saya.

“Saya menjerit. Saya beritahu ipar saya: “Kitak punya anjing gigit saya punya kaki!”

“Dengan kecederaan itu, saya segera balik ke rumah, dan meminta anak membawa saya ke hospital.

Katanya, gigitan itu agak dalam dan sesudah mendapatkan suntikan, saya dimaklumkan kalau dalam tempoh dua tiga hari luka gigitan itu bertukar merah hitam, segera balik ke hospital.

“Ini kerana kuman sudah merebak. Tetapi waktu itu, kita tidak tahu pun akan penyakit anjing gila ini,” katanya lagi.

Augustine bersyukur kerana segera mendapatkan rawatan, sebelum musibah yang lebih besar melanda.

Anjing yang bertukar ganas itu juga telah dibunuh pemiliknya, selepas itu, kerana dikhuatiri mencederakan orang lain.

Lebih 10 serangan di Kampung Paon Sungai Rimu Bakung dicatatkan sepanjang bulan lalu, termasuk dua beradik yang berusia empat dan enam tahun yang kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi, Hospital Umum Sarawak.

Pada masa yang sama lebih 30 ekor anjing zombie ini telah dihapuskan penduduk.

Selain kampung tersebut, beberapa kampung jiran, termasuk Sungai Kerait turut diganggu oleh anjing yang mengalami simptom yang sama.

Semalam, pasukan perubatan dan pihak SSPCA telah mengadakan dialog dengan penduduk, bagi membincangkan kaedah pengawalan virus ini daripada terus merebak. – Sarawakvoice

Comments