Jambatan Batang Lassa, kedua terpanjang di S’wak, lengkapkan jalan pesisir

DARO: Sarawak membina Jambatan Batang Lassa yang merupakan jambatan kedua terpanjang selepas Jambatan Batang Lupar mengambil tempoh pembinaan tiga tahun.

Jambatan yang baharu diluluskan ini menjadi pelengkap kepada perhubungan jalan raya sepanjang pesisir pantai dari Mukah ke Tanjung Manis.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mengumumkan kelulusan pembinaan jambatan sepanjang 2.5 kilometer hingga 3 kilometer pada sidang media selepas Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri yang diadakan di Daro pada Sabtu.

Kredit Foto Dermen Man Abdull Rahman

Pada program hari tersebt, Abang Johari turut berkesempatan merasmikan bangunan dua tingkat baharu Pejabat Daerah Daro menempatkan Jabatan Perbendaharaan Negeri, Mahkamah dan Pejabat Ketua Masyarakat menelan kos RM3,320,244 siap dalam tempoh 15 bulan.

Jambatan Batang Lassa menghubungkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Semop, Daro dan Jemoreng merangkumi wilayah Pulau Bruit, Mukah termasuk hab halal Tanjung Manis dan kawasan pesisir lain.

Unit Perancangan Negeri kini mengenal pasti lokasi dan kos pembinaan jambatan berkenaan yang dijangka mampu melonjakkan pembangunan ekonomi kawasan pesisir.

Selain itu, projek berkenaan diharap dapat membantu membuka tapak pertanian lebih mapan berdekatan hab halal Tanjung Manis.

Abang Johari berkata meskipun pelaburan pembinaan projek berkenaan tinggi, Kerajaan Negeri tetap membinanya demi kemudahan dan kesenangan rakyat, selain memastikan kesemua jaringan jalan pesisir dapat dihubungkan.

Abang Johari mengaku meluluskan banyak projek jambatan menghubungi jalan pesisir di Sarawak termasuk jambatan Kemena di Bintulu yang menghubungkan Kampung Jepak dan bandar Bintulu serta menghala ke Mukah dan Daro.

Dalam kenyataannya, Abang Johari turut mengumumkan meluluskan peruntukan RM5 juta membina masjid baharu di Daro menggantikan masjid lama. – Sarawakvoice

Comments