Dua beradik yang dijangkiti rabies diisytiharkan meninggal dunia

KUCHING: Dua beradik malang yang dijangkiti rabies diisytiharkan mati pada jam 1.43 dan 1.46 petang tadi.

Dua beradik tersebut yang menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak setelah otak mereka gagal berfungsi.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian, kedua-dua ibu bapa kanak-kanak lelaki berusia 4 dan perempuan berusia 6 tahun itu kemudian bersetuju agar alat sokongan mereka ditanggalkan.

Kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Paon Sungai Rimu Bakung di Serian, Sarawak.

Tinjauan di Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak sebentar tadi mendapati mayat kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Jackson tiba sekitar jam 3.30 petang, manakala kakaknya, Monica 4.13 petang.

Mayat kedua-duanya dituntut keluarga sekitar 4.40 petang tadi.

Pihak media bagaimanapun ditegah untuk mengambil gambar dan visual.

Sementara itu, keadaan seorang lagi kanak-kanak dari Kampung Lebur, Gedong masih kritikal, dan tiada perubahan.

Kui Hian memberitahu, sebanyak 11 pasukan petugas kesihatan masih aktif melakukan pemantauan dari rumah ke rumah di kawasan terlibat.

Setakat petang ini, sebanyak 19 kampung, 2,098 rumah dan 6,094 individu telah diperiksa.

Senak 1 April lalu, sejumlah 68 kes serangan anjing telah direkodkan di seluruh daerah Serian. – Sarawakvoice

Comments