Sarawak kekal selamanya dalam Malaysia, selepas keputusan penting 1963

Genap 54 tahun lalu, rakyat Sarawak membuat tiga keputusan penting. Pemimpin dan rakyat kita pada ketika itu memutuskan untuk bebas daripada pemerintahan penjajah.

Saya masih ingat bahawa saya berusia 13 tahun ketika itu. Saya cukup mengetahui bahawa sesuatu yang sangat penting sedang berlaku kerana saya dapat melihat beberapa orang datang ke rumah kami untuk berjumpa bapa saya (Tun Abang Haji Openg Abang Sapiee).

Salah seorang daripada mereka ialah Apai Jugah (Tun Jugah Barieng) yang bertemu dengan ayah saya dan memanggilnya “menyadi” dalam Iban atau “saudara”.

Ong Kee Hui juga datang dan dia memanggil bapa saya “abang”.

Rupa-rupanya, pada hari ini, 54 tahun yang lalu, kita mempunyai gabenor kita sendiri iaitu bapa saya, Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri kita sendiri, Datuk Stephen Kalong Ningkan, dan kabinet negeri kita sendiri yang diamanahkan untuk memerintah dengan cara kita sendiri tanpa arahan dari London.

Tun Abdul Taib adalah antara ahli kabinet negeri yang pertama ketika berusia 27 tahun.

Tun ketika menjadi Ketua Menteri telah membuat keputusan bahawa adalah tepat untuk tarikh 22 Julai diangkat sebagai “hari penting” bagi memperingati Sarawak diberi kuasa pemerintahan sendiri oleh Kerajaan Koloni British.

Arwah Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) kemudian mengisytiharkan 22 Julai sebagai cuti umum di Sarawak dan hari yang dinanti-nantikan ini dinamakan “Hari Sarawak”.

Pada 16 September 1963,  Sarawak menyertai pembentukan Malaysia selepas menandatangani Perjanjian Malaysia pada 9 Julai 1963 di London.

Kita menjadi ahli kepada persekutuan yang lebih besar di Malaysia dengan harapan bahawa kita akan menjadi orang yang bebas dan merdeka, selamat daripada jiran-jiran yang bermusuhan dan ancaman subversif dalaman.

Dan tentunya, menjadi pihak kepada Perjanjian Malaysia, Sarawak dilindungi oleh cadangan Suruhanjaya Cobbold dan pasukan penyelidik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mengimbas kembali sejarah 54 tahun itu, kita tidak boleh tidak, perlu mengakui bahawa kita telah membuat keputusan yang bijak.

Selepas 22 Julai, kita membuktikan kepada dunia bahawa kita boleh memerintah sendiri dan kita tidak lagi memerlukan bantuan orang dari London untuk memberitahu apa yang perlu kita lakukan.

Malah kita tidak memperoleh kemerdekaan ini secara radikal, melalui peperangan atau pertumpahan darah. Sebaliknya kita menang berunding di meja persidangan.

British tahu bahawa zaman mereka sebagai kuasa penjajah semakin pudar dan mereka perlu menyerahkan pemilikan mereka seperti yang dijanjikan kepada Rajah Charles Vyner Brooke pada tahun 1941.

Terdapat beberapa bantahan pada mulanya tetapi pada akhirnya mereka sangat akomodatif dan kita berpisah sebagai kawan, bukan sebagai musuh.
Kita kekal sebagai kawan baik kepada Kerajaan British sehingga hari ini.

Pada hari ini, sekali lagi ditegaskan, kita mempunyai Gabenor tempatan pertama, Ketua Menteri tempatan pertama dan kabinet negeri pertama di bawah perlembagaan yang menempatkan kuasa di tangan orang tempatan n bukannya beberapa pegawai di London.

Justeru pada hari ini, sekali lagi saya menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuk Sarawak keluar dari Malaysia.

Berada sebagai sebahagian daripada negara Malaysia tidak bermakna kita tidak boleh berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan kembali hak dan apa yang menjadi milik kita.

Kita hanya mahu apa yang menjadi hak kepunyaan kita. Ia mudah seperti itu.

Saya sangat berharap agar rakan-rakan dan rakyat Sarawak akan terus menghembuskan sokongan kepada saya untuk berbincang dengan Kerajaan Persekutuan, bagi mencari penyelesaian terbaik untuk isu utama penurunan kuasa kembali ke Sarawak.

Apai Jugah memanggil bapa saya “menyadi”, Ong Kee Hui memanggilnya “saudara” dan semangat perpaduan dan persaudaraan ini akan membantu meneruskan matlamat kita untuk memastikan Sarawak bergerak maju seperti yang dikehendaki oleh pemimpin masa lalu.

Kita percaya bahawa tidak ada masalah yang tidak dapat diatasi.

Untuk itu saya harus mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Sarawak dalam usahanya untuk mendapatkan kembali kuasa, mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia, Akta Malaysia, Laporan dan Cadangan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah terhakis selama ini.

Malaysia telah menjadi kisah kejayaan. Sarawak telah maju dengan pesat sejak bertahun-tahun dengan pendapatan per kapita dan KDNK meningkat berlipat ganda.

Tetapi kita masih bukan kesatuan yang sempurna dan kita berusaha untuk menjadi kesatuan yang sempurna pada tahun-tahun akan datang.

Seperti yang dikatakan oleh Tok Nan: ” Kita Malaysia semalam , Kita Malaysia sekarang, Kita terus Malaysia esok dan Kita selamanya Malaysia”.

* Sedutan ucapan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sempena sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai 2017 di Tebingan Kuching.


Comments