Dapat RM500 bonus Aidilfitri, Cuepacs mohon RM500 pula untuk Aidiladha

KOTA SAMARAHAN: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata Cuepacs mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan pada 21 Julai ini membincangkan berkaitan kenaikan gaji serta rebat perumahan dan perkara lain.

Pada pertemuan itu Azih turut mencadangkan agar kakitangan awam sekali lagi dapat menikmati bonus Aidiladha yang boleh ditangguhkan pembayarannya pada penghujung tahun ini.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Awam anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sarawak pada Isnin, Azih mengaku ketika ini ramai penjawat awam mengalami tekanan kerja yang semakin meningkat.

Menurut Azih jumlah kakitangan awam yang tiada penambahan, selain hanya ada pergantian bagi staf berpencen antara punca bebanan kerja di kalangan kakitangan awam.

Menurut beliau, kekurangan staf menyebabkan ada yang terpaksa bekerja tiga syif sehari.
Sebahagiannya menurut Azih, ada yang tidak diberi elaun bekerja lebih masa atau hanya diberikan cuti ganti.

Azih merujuk kepada kejayaan kerajaan mengutip Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) melebihi sasaran RM70 bilion.

Justeru, beliau mahu kerajaan tidak terlepas pandang nasib penjawat awam dalam peruntukan belanjawan kerajaan dan dapat menikmati insentif bagi produktiviti mereka.
Sebelum ini, Cuepacs pernah memohon kerajaan memberikan bantuan RM1,000 kepada 1.6 juta penjawat awam seluruh negara.

Pada Aidilfitri lepas, kerajaan mengumumkan memberi bantuan RM500 kepada penjawat awam, manakala RM250 kepada pesara kerajaan.

Justeru, Azih merasakan masih relevan bagi kerajaan memberi RM500 sebagai bonus Aidiladha. -SarawakVoice

Comments