Jonathan Nyepa dari Sarawak raih pingat perak, catat masa 21.29s

KUALA LUMPUR: Atlet Malaysia menyapu bersih pingat bagi acara 200m lelaki semalam apabila Jonathan  Nyepa, 21,  dari Sarawak mencatat masa 21.29s untuk meraih pingat perak pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-94 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Manakala Aravinn dari Perak menang pingat gangsa dengan masa 21.31s pada kejohanan itu, yang juga dikenali sebagai temasya Pra-Sukan SEA.

Khairul  Hafiz Jantan, 18, memecahkan rekod 20.92 yang dicipta Dr Jegathesan pada Sukan Olimpik Mexico City 1968.

Tahun lalu, Jonathan  mengungguli acara 100 meter acara olahraga Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2016 di Stadium Chou Chu Kang.

Dalam acara tersebut, Jonathan memenangi perlumbaan dengan merakam kepantasan 10.62 saat berbanding pelari Vietnam Trong Hinh Le (10.66s) dan pingat gangsa menjadi milik pelari Indonesia Iswandi (10.75s).

Bernama melaporkan, bekas pemegang rekod kebangsaan acara lari 200m Tan Sri Dr M. Jegathesan, yang digelar ‘Flying Doctor’, berharap pelari pecut kebangsaan, Khairul Hafiz, akan mengikut jejak beliau memenangi pingat emas Sukan Asia suatu hari nanti.

Pemenang tiga pingat emas pada Sukan Asia Bangkok 1966 itu, yang amat gembira dengan catatan masa 20.90 oleh Khairul Hafiz dan sekali gus memecah rekodnya selama 49 tahun, juga ingin melihat pelari sensasi itu melakar kecemerlangan lebih jauh daripada Sukan SEA.

Dr Jegathesan juga gembira dengan kemunculan bakat baharu seperti Jonathan Nyepa, G. Aravinn Thevar, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Nixson Kennedy, manakala Khairul Hafiz juga kini merupakan pesaing utama dalam dua acara pecut pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan depan.

“Saya sendiri tidak menjangka rekod saya akan dapat bertahan selama itu dan akhirnya, Khairul memecahkannya. Dia memberi harapan besar dan mempamerkan bakat besar melalui prestasinya secara tekal.

“Khairul ada sebulan lagi untuk membuat persiapan meraih pingat emas dan berdiri megah sebagai segelintir rakyat Malaysia yang berpeluang memenangi pingat emas Sukan SEA dalam acara 200m. Saya harap dia akan meraih pingat emas pada Sukan Asia juga,” kata Dr Jegathesan, yang berada di Bahamas apabila dihubungi Bernama pada Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) itu sedang menghadiri Sukan Remaja Komanwel 2017 di Nassau, Bahamas.

Masa yang dicatat itu hanya 0.01s di belakang 20.89s yang dicipta pelari Vietnam Le Trong Hinh pada Sukan SEA Singapura dua tahun lepas, manakala rekod Sukan SEA 20.69s dipegang Reanchai Seeharwong dari Thailand, yang dicipta pada edisi 1999 di Brunei.

Rekod yang dicipta Khairul itu adalah kejayaan utama kedua dalam kerjayanya sebagai pelari pecut setelah memecahkan rekod kebangsaan 100m yang dicipta Watson Nyambek dengan catatan masa 10.30s apabila dia mengatasinya dengan catatan masa 10.18s pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak di Kuching tahun lepas. Bernama

Comments