Penyakit JE di Taman Sentoria, Kota Samarahan?

KUCHING: Belum lagi reda dengan wabak rabies atau penyakit anjing gila di Daerah Serian yang telah meragut dua nyawa kanak-kanak pada Selasa lepas, kini timbul pula penularan surat pihak berkuasa kesihatan yang mengatakan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun disahkan positif Japanase Encephalitis (JE) di Taman Sentoria, Kota Samarahan pada bulan lepas.

Surat itu diberikan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Muara Tuang, Kota Samarahan bertarikh 4 Julai 2017.

Surat tersebut bertajuk 'Pemberitahuan Kes Japanese Encephalitis di Taman Sentoria, Jalan Stakan dan Saringan Kanak-kanak dan Remaja 15 tahun ke bawah untuk status vaksinasi Japanese Encephalitis'.

"Untuk makluman tuan, satu kes JE positif melibatkan seorang pelajar lelaki berumur 7 tahun telah dilaporkan oleh Hospital Umum Sarawak pada 23 Jun 2017.

"Sehubungan ini pihak kami dari Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan sedang menjalankan aktiviti kawalan kes meliputi 2km radius dari rumah kediaman kanak-kanak terbabit termasuk di sekolah jagaan pihak tuan/puan," kandungan surat itu dipetik yang menjadi tular menerusi media sosial dipercayai sejak semalam.

Tempoh aktiviti kawalan itu adalah bermula 24 Jun hingga 8 Julai 2017 merangkumi Taman Sentoria, Taman Stakan Waja, Taman Stakan Perdanan, Taman Stakan Jaya, Kpg Stakan Melayu, Kpg Pangkalan Kuap, Kuap Cina dan kawasan-kawasan lain berdekatan.

Aktiviti kawalan kes itu merangkumi kajian populasi penduduk dibawah umur 15 tahun untuk pemberian vaksin JE Imojey sebanyak dua dos.

Ia menyasarkan anak-anak berumur 15 tahun dan ke bawah yang tidak pernah mendapat suntikan vaksin JE atau telah menerima suntikan JE tetapi tidak lengkap.

Utusan Borneo menghubungi Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim semalam, bagaimanapun beliau mencadangkan agar Pejabat Kesihatan Samarahan untuk mempastikannya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian juga ketika dihubungi memohon agar media merujuk Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan.

Menurut artikel dalam Portal Rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia - www.myhealth.gov.my - virus ini disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culicine iaitu Culex tritaeniorhynchus, Culex vishnui, Culex gelidus dan Culex fuscocephala  yang dijangkiti virus JE.

Khinzir dan pelbagai burung liar akan dijangkiti penyakit JE terlebih dahulu sebelum virus JE menjangkiti  manusia melalui gigitan nyamuk. Manusia tidak dianggap sebagai perumah untuk penyebaran virus dan jangkitan daripada manusia ke manusia tidak pernah didokumenkan.

Gejala yang biasa adalah demam, sakit kepala, loya dan muntah. Perubahan keadaan mental, simptom neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan muncul selepas beberapa hari. Sawan berlaku dalam 66% kes dan paling kerap berlaku di kalangan kanak-kanak.

Kesan daripada gejala penyakit ini boleh menjadi serius termasuklah kecacatan otak dan kematian.

Kadar kematian adalah sehingga 60% untuk pesakit yang menunjukkan gejala manakala lebih kurang 30% pesakit akan mengalami kerosakan pada sistem saraf pusat. -Utusan Borneo Online

Comments