KUCHING: Tidak cukup memasukkan jari ke dalam alat sulit kanak-kanak berusia lima tahun, seorang lelaki bertindak kejam apabila melakukan perkara yang sama kepada adik mangsa yang baharu berusia setahun tujuh bulan, yang masih berlampin.
Kisah manusia bernafsu binatang ini berlaku di Asajaya, dekat sini dan pada petang semalam, pedofil ini berjaya diberkas di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tambirat. (gambar hiasan)
Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, perbuatan terkutuk lelaki itu terbongkar apabila ibu mangsa mendapati beberapa bahagian alat sulit anak perempuannya yang berusia setahun tujuh bulan itu lebam ketika menukar lampinnya.
“Si ibu dibisikkan oleh seorang lagi anaknya yang berusia lima tahun tujuh bulan, bahawa individu yang sama yang juga saudara dekat mereka pernah mengucupnya dan mengajak si kecil itu mengadakan hubungan seks.
“Tidak cukup dengan itu, suspek malah memasukkan jarinya berulang kali ke dalam alat sulit gadis kecil itu.
Terkejut dengan pendedahan tersebut, ibu mangsa memberitahu suaminya dan bapa kana-kanak itu membuat laporan polis di Kota Samarahan pada Sabtu lalu.
“Pada jam 2.50 petang semalam, sepasukan anggota siasatan jenayah Kota Samarahan diketuai Inspektor Affendi Otoh telah menahan suspek, yang juga seorang penganggur berusia 22 tahun.
Dia kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 8 Julai.
Kes kata Dev, disiasat di bawah Seksyen 14 (a) dan (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Sabit kesalahan, suspek berhadapan penjara tidak lebih 20 tahun dan layak dirotan.
Ini merupakan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak kedua di bawah Akta ini di Sarawak, selepas kes pertama melibatkan mangsa yang berusia 16 tahun di Kuching, pada 13 Julai lalu. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment