Kes JE di Taman Sentoria, Samarahan sah berlaku pada 25 Mei lalu

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan sebentar tadi mengesahkan bahawa satu kes Japanese Encephalitis (JE) telah dilaporkan dari Taman Sentoria, Jalan Stakan Kota Samarahan kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak.

Kes JE ini melibatkan seorang kanak kanak berusia tujuh tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 25 Mei dengan gejala demam, sakit kepala dan perubahan tingkah laku.

Mangsa” disahkan positif JE melalui keputusan ujian Cerebrospinal (CSF) fluid dan ujian darah.

“Pesakit telah diberi rawatan dan telah dibenarkan pulang ke rumah pada 5 Jun,” katanya.

Pihak JKN Sarawak kata kenyataan itu lagi, telah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan ke atas kejadian ini melalui aktiviti penyemburan kabus dan aktiviti larviciding bagi membunuh jentik- jentik nyamuk di kawasan kes.

“Jabatan turut mengedarkan surat makluman ke sekolah-sekolah dan para penduduk dalam kawasan terlibat selain memastikan liputan pemberian vaksin JE adalah seratus-peratus dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berumur 15 tahun ke bawah.

Kata kenyataan itu lagi, pemantauan rapi diteruskan melalui pelaporan dari semua klinik dan hospital kerajaan termasuk swasta.

“Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan JE dan langkah-langkah pencegahannya kepada masyarakat setempat juga ditingkatkan,” jelas kenyataan itu lagi.

Penyakit Japanese Encephalitis (JE) disebabkan oleh virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Culex daripada khinzir yang telah dijangkiti kepada manusia.

Namun transmisi virus tidak boleh berlaku daripada manusia (individu) yang dijangkiti kepada manusia lain.

Virus JE hidup dalam haiwan seperti khinzir, burung liar dan kuda.

Penyakit JE boleh dicegah melalui pemberian vaksin kepada individu yang berisiko contohnya penternak ladang khinzir dan penduduk yang tinggal berhampiran ladang ini.

Di Sarawak, semua bayi yang dilahirkan akan diberi vaksin JE iaitu dos pertama pada usia 9 bulan dan dos kedua (booster) pada usia 21 bulan, mengikut Jadual Program Immunisasi Negeri Sarawak.

Program ini telah bermula sejak tahun 2001 apabila pada masa itu kes JE yang dilaporkan di Sarawak adalah tinggi iaitu 33 kes setahun.

Selepas 10 tahun program Immunisasi JE ini dilaksanakan, jumlah kes telah berkurang kepada hanya 4 kes pada tahun 2010.

Pada tahun 2017 bermula dari Januari hingga 1 Julai, hanya 3 kes dilaporkan di Sarawak.

Kata kenyataan itu lagi, ibu bapa terutama di negeri Sarawak, perlu memastikan anak-anak di bawah jagaan mereka mendapat suntikan vaksin JE.

“Masyarakat diminta mengambil langkah pencegahan bagi melindungi diri daripafa gigitan nyamuk, dengan menggunakan repelen terutama apabila menjalankan aktiviti di luar rumah dan tidur dalam kelambu atau pasang jejaring nyamuk/serangga pada tingkap.

“Masyarakat juga digalakkan menggunakan semburan aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa yang berada di dalam rumah.

Bagi individu yang mengalami simptom demam, sakit badan, sakit sendi, muntah atau sakit kepala pula, mereka dinasihati untuk segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.

Pengesanan dan rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa dan mencegah komplikasi JE. – Sarawakvoice

Comments