Guru di Kuching hukum pelajar ketuk ketampi 300 kali, tekan tubi 200 kali hingga lembik dan masuk hospital

KUCHING: Ketuk ketampi 300 kali, senam cangkung 200 kali, bangkit tubi 300 kali dan tekan tubi 200 kali. Dan ulangi lagi 50 set dalam masa satu jam.

Itu “azab” yang terpaksa ditanggung oleh tiga pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah agama terkemuka di sini Selasa lalu, gara-gara gagal menyempurnakan arahan mencetak kerja latihan dalam subjek Pendidikan Sivik dan Ketatanegaraan.

Padahnya, hukuman “ala komando” itu menyebabkan tiga pelajar terbabit menjadi lembik, hingga memaksa dua daripadanya dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Semua cerita ini terbongkar apabila anak saya, Mohd Nur Haikal tidak dapat berjalan pada Khamis lalu dan mengadu kesakitan pada pahanya.

“Pada mulanya, dia enggan bercerita namun setelah dipujuk berkali-kali, baharulah dia memberitahu cerita sebenar, bahawa dia dan dua rakan yang lain dihukum berat kerana tidak melengkapkan tugasan,” kata bapa mangsa, Shamsuddin Seri, 42 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan pegawai perubatan, kemudian mendapati tisu dan otot kedua-dua paha anaknya terkoyak.

“Yang kami khuatir sekarang ialah masalah ini mungkin berlarutan hingga merosakkan buah pinggang.

“Kami kini sedang menunggu laporan ujian air kencingnya,” katanya lagi.

Shamsuddin berkata, beliau kesal perkara tersebut boleh berlaku di sekolah yang dianggap antara yang tersohor di bandar raya ini itu.

“Kerana itu saya mengambil keputusan untuk melaporkan insiden ini kepada pihak polis, selepas mendapat maklumat perubatan,” katanya lagi.

Laporan dibuat sekitar jam 7.30 malam pada Khamis lalu, di Balai Polis Gita di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Dev Kumar ketika dihubungi mengesahkan laporan tersebut, yang menurutnya, ada kaitan dengan denda dan latihan fizikal yang keterlaluan.

“Kita sedang siasat kes ini untuk menentukan wujudnya unsur dera atau tidak.

“Setakat ini, doktor tidak dapat mengesahkan jika kecederaan yang dialami pelajar terbabit disebabkan oleh tindakan guru.

“Kita sedang menyiasat,” katanya lagi.

Pengarah Pendidikan Negeri, Rakayah Madon turut mengakui pihaknya telah mendapat makluman tentang insiden tersebut.

“Kami sedang siasat dan saya sedang menunggu laporan penuh.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan guru wanita terbabit akan dikenakan tindakan tatatertib, jika benar melaksanakan hukuman yang mendatangkan mudarat kepada pelajar. – Sarawakvoice

Comments