KUCHING: Ketua Menteri Datuk AmarAbang Johari Tun Openg memberi amaran kepada pihak luar agar tidak campur tangan dalam urusan negeri ini terutama melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini malam tadi, Abang Johari berkata kerajaan negeri tetap akan mendapatkan semula hak-hak negeri ini yang telah terhakis dalam MA63.
Tetapi katanya, untuk mengambil alihatau membetulkan hak dalam MA63 ini, Sarawak mesti bersedia dan disokong oleh fakta-fakta yang tepat.
“Sebab itu saya hantar Sharifah Hasidah (Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) dan rombongan ke London.
“Bukan kita tidak tahu apa yang terkandung dalam MA63 tetapi mungkin ada yang tidak tertulis dan itu kita perlu pakar undang-undang untuk menelitinya.
“Orang lain luar dari negeri ini jangan masuk campur kerana ini adalah antara kita (Kerajaan Sarawak) dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya menambah akan meneruskan perjuangan yang dimulakan oleh Tok Nan.
“Perjuangan kita bukan untuk PBB sahaja tetapi juga untuk mereka di luar parti iaitu rakyat Sarawak secara keseluruhannya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
“Ini adalah budaya kita dan kekuatan Sarawak adalah bergantung kepada kekuatan PBB yang mana harus kita pertahankan dan perkukuhkan lagi,” katanya.
PBB katanya mempunyai sejarah yang begitu lama dan sejarah ini telah memperlihatkan kesan daripada perpecahan yang menjadi kekangan terhadap perpaduan dalam kalangan masyarakat kita.
“Sebab itu kita mahu mengekalkan perpaduan yang utuh dalam kalangan Bumiputera dan bekerjasama denganbukan Bumiputera.
“Ini adalah platform kita, Bumiputera bergabung dengan Pesaka dan suatuhari nanti kita panjangkan kerjasama ini dalam kalangan kumpulan etnik lain dan bekerjasama dengan rakan kita dari masyarakat Cina. Akhirnya, seluruh rakyat Sarawak akan bersatu,” kata Abang Johari.
Turut hadir, mantan Timbalan Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Timbalan Presiden Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan pemimpin-pemimpin PBB dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain. -Utusan Borneo Online
Comments
Post a Comment