Enam lelaki ditahan polis Kuching kerana belasah lelaki mabuk dan tiga yang lain

KUCHING: Polis Kuching semalam menahan enam individu berusia 14 hingga 29 tahun selepas mereka membelasah seorang lelaki mabuk di Pub K-Club di Jalan Ban Hock di sini sekitar jam 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisoner Abang Ahmad Abang Julai ketika memgesahkan tangkapan memberitahu, insiden tercetus ekoran salah faham apabila seorang pelanggan dalam keadaan mabuk telah mencabar penjaga pub.

“Tidak lama selepas itu, lelaki tersebut telah diserang oleh sekumpulan lapan lelaki yang tidak dikenali, yang memakai topeng muka dan helmet.

“Mereka bersenjatakan besi, parang dan kayu, hingga menyebabkan empat orang cedera,” katanya.

Kata Abang Ahmad, bertindak atas siasatan awal, enam suspek dalam lingkungan umur 14 hingga 29 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

Turut dirampas ialah bahan-bahan bukti seperti rotan belantan, dua batang besi, sebilah sabit dan tiga kereta jenis Honda City, Perodua Viva dan kereta Toyota Vios.

Kesemua suspek akan ditahan reman pada hari bagi membolehkan siasatan dilaksanakan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – Sarawakvoice


Comments