Kanak-kanak 6 tahun dirawat di Melaka, disyaki dijangkiti rabies selepas digigit anjing di Serian


KUCHING: Seorang lagi pesakit yang disyaki dijangkiti rabies telah dikesan di Melaka hari ini.

Pengarah Kesihatan Melaka, Datuk Dr Ghazali Othman mengesahkan kepada media bahawa pesakit tersebut disyaki dijangkiti wabak itu selepas demamnya selama sebulan lalu tidak kebah.

Pada mulanya, kanak-kanak tersebut disyaki demam biasa, dan dibawa ke Hospital Angkatan Tentera di Kem Terendak, Melaka sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

Difahamkan, kanak-kanak tersebut telah digigit anjing ketika pulang bercuti sempena Aidilfitri di kampung halaman keluarganya di Serian.

Ia merupakan kes disyaki terkini, selepas mangsa keempat dari Kampung Lebor, yang kini kritikal di Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak, disahkan terkena jangkitan tersebut.

Tiga mangsa terawal wabak ini telah pun meninggal dunia, dengan mangsa terakhir menghembuskan nafas terakhir semalam.

Keputusan mengenai kes kanak-kanak terbabit dijangka diketahui dalam masa terdekat.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Sim Kui Hian ketika ditemui petang tadi, berkata pihaknya telah meminta pegawai kesihatan yang bertanggungjawab mendapatkan maklumat mengenai kes tersebut. – Sarawakvoice

Comments