KUCHING: Terdesak mendapatkan wang untuk membayar along, seorang lelaki sanggup membuat laporan palsu mengatakan dirinya dirompak, dan kehilangan wang tunai RM16,500 milik syarikat pada Mei lalu.
Lelaki terbabit, Fong Soon Fook, 28 tahun, sebelumnya membuat laporan polis, kononnya pada jam 12.02 tengah hari, 16 Mei lalu, semasa berada di lampu isyarat Jalan Semeba dekat sini, dia didatangi dua lelaki menunggang motosikal, yang bersenjatakan parang, berhelmet dan berpakaian hitam.
Penjenayah tersebut kemudian membuka pintu kereta lelaki tersebut lalu mengugut agar dia menyerahkan duit.
Ceritanya lagi, salah seorang penjenayah kemudian mengambil sampul berisi wang berjumlah RM16,500 yang diletakkan di sebelah tempat duduk pengadu sebelum melarikan diri menggunakan motosikal EX5 hitam & Modenas MR1 biru putih dengan plat pendaftaran yang tidak pasti.
Bagaimanapun setelah menerima laporan tersebut di Balai Polis Kota Sentosa, detektif yang bertugas mengesyaki pengadu telah membuat laporan palsu.
Suspek bahkan tidak mengalami sebarang kecederaan mahupun trauma selepas kejadian tersebut.
Sehubungan itu, detektif terbabit telah melakukan soal siasat tubi hingga akhirnya, pengadu mengaku telah menggunakan wang yang sepatutnya dijadikan baki tunai ketika penjualan tiket bas untuk membayar hutang along.
Selepas pengakuan tersebut, suspek dihadapkan ke mahkamah dan kemudian dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Inspektor Rogayah Rosli.
Majistret Zubaidah Sharkawi yang semalam kemudian menjatuhkan hukuman RM1200 atau tiga bulan penjara terhadap tertuduh kerana tindakannya membuat laporan palsu tersebut. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment