KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yakin lapan pakar undang-undang dan peguam yang dihantar ke London baru-baru ini akan pulang dengan fakta dan maklumat yang diperlukan.
Pasukan yang diketuai oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ini katanya, diterbangkan ke sana sejak minggu lalu untuk mengkaji “roh” atau semangat Perjanjian Malaysia.
“Hanya dengan asas dan fakta yang betul, baharu kita dapat memahami apa yang berlaku, dan tidak melakukan kesilapan apabila menuntut hak-hak Sarawak yang terhakis lewat perjanjian tersebut.
Sarawak sejak dua tahun lalu telah menuntut kembali kuasa yang menjadi haknya dalam persetujuan penubuhan Malaysia, dan usaha ini dirundingkan dalam beberapa siri mesyuarat penurunan kuasa Pusat kepada Negeri.
“Saya yakin dengan fakta yang diperoleh, kita akan dapat teruskan perjuangan untuk menuntut hak kita.
“Saya akan teruskan apa yang diperjuang oleh Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem),” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Bandarsah di sini, semalam.
Rundingan terkini dijadualkan tidak lama lagi, dan difahamkan antara agenda yang dibincangkan termasuklah hak sempadan laut Sarawak, yang termaktub dan Akta Pelantar Benua.
Pada majlis yang turut mengimbau zaman kecil Abang Johari dan rakan sepermainan, beliau mengingatkan masyarakat Melayu di kawasan Dewan Undangan Negerinya di Satok agar memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan sewajarnya.
“Sekarang adalah zaman ilmu dan anak-anak kita harus didedahkan kepada STEM atau Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.
“Kita mahu mereka menguasai teknologi masa depan.
Ketika ini katanya, pelajar-pelajar di negeri ini masih jauh ketinggalan.
“Saya sedih kerana daripada 1000 peluang yang dibuka di sebuah sekolah aliran Sains di negeri ini, hanya 400 yang diisi kerana pelajar yang memohon tidak layak.
“Kita perlu memperbaiki situasi ini dan anak-anak kita perlu digalak merebut peluang,” katanya lagi.
Pada majlis tersebut, Abang Johari turut menyerahkan geran tanah untuk pembinaan sebuah bangunan dan galeri di Kampung Bandarsah. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment