KUCHING: Sarawak menubuhkan syarikat minyak dan gas petroleum sendiri iaitu Petroleum Sarawak atau dikenali sebagai Petros.
Petros sedia bekerjasama dengan Petronas menyertai industri minyak dan gas huluan dalam kerja cari gali minyak dan gas sekitar perairan Sarawak.
Bercakap pada Majlis Ulang Tahun Ke-58 Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching pada Ahad, Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata Petros menerima kontrak kerja dari Petronas.
Sebelum ini, Abang Johari mengenal pasti, disebabkan harga minyak sekarang rendah, justeru agak sukar bagi Petronas melayan tuntutan royalti 20 peratus seperti dituntut Sarawak pada masa kini.
Justeru, buat masa ini, Sarawak diberi kontrak kerja Petronas terbabit dalam industri minyak dan gas peringkat hiliran dan huluan, sebagai ganti kepada tuntutan kenaikan 20 peratus royalti minyak yang belum tertunai.
Abang Johari mengaku Petronas bersetuju secara prinsipnya dengan kerjasama terbabit mencari gali minyak di negeri ini.
Kelebihan Petros menurut Abang Johari ialah, ia diharap dapat memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Petros menubuhkan loji methanol 100 peratus milik Sarawak berharga AS$850 juta, mula dibina hujung tahun ini dan siap sepenuhnya 2021.
Apabila siap kelak, loji ini dijangka mengeluarkan 5,000 metrik tan methanol sehari, dengan nilai setiap tan pada pasaran tempatan hari ini sekitar AS$300 (RM1,260) satu tan.
Ia dijangka memberi peluang 2,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Abang Johari sebelum ini berkata, Sarawak terus memperkukuh hubungan dengan Petronas, dengan menjadikan syarikat itu rakan kongsi akrab membangunkan industri minyak dan gas di negeri ini.
Abang Johari mengaku perjuangannya menuntut royalti berjalan tetapi dengan pendekatan “menang-menang” berbeza berbanding era Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
Menurut Abang Johari, Sarawak memiliki perancangan panjang dengan Petronas. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment