Pelajar 13 Tahun Ditahan Polis Di Sri Aman, Letak Racun Lipas Di Dalam Mi Goreng Rakan Sekelas

KUCHING: Polis Sri Aman awal pagi tadi menahan seorang pelajar berusia 13 tahun kerana disyaki meracuni rakan sekelasnya, dengan mencampur serbuk racun lipas ke dalam mi goreng.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar ketika mengesahkan perkara itu berkata, tangkapan dilakukan oleh anggotanya daripada Ibu Pejabat Polis Sri Aman sekitar jam 2.30 pagi tadi di kediaman keluarga suspek di Taman Sri Jaya, Sri Aman untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati suspek sebelum itu telah membawa satu kontena mi goreng dan sekotak racun lipas ke sekolahnya, di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman.

“Ketika berada di dalam kelas, suspek telah mencampurkan racun bersama-sama mi tersebut, sebelum menawarnya kepada mangsa.

Mangsa kata Dev kemudian memakan mi tersebut sebelum muntah beberapa minit kemudian.

“Terkejut, takut dan panik dengan apa yang berlaku kepada mangsa, suspek kemudian menyerahkan racun tersebut kepada rakan sekelasnya yang lain, yang kemudian bertindak memaklumkan insiden tersebut kepada gurunya.

Mangsa kemudian segera dikejarkan ke Hospital Sri Aman oleh pihak sekolah.

Bapa mangsa yang berusia 49 tahun dari Pantu telah dimaklumkan tentang kejadian sekitar jam 2.15 petang dan bergegas ke hospital.

“Beliau dimaklumkan tentang anaknya telah tertelan racun dan apa yang berlaku oleh guru mangsa.

Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis di balai Polis Sri Aman, bagi polis menjalankan siasatab di bawah seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan racun dengan niat hendak melakukan kesalahan.

Kotak racun kata Dev, telah dirampas dan motif jenayah sedang disiasat. – Sarawakvoice

Comments