Wabak Rabies menghampiri Satok, dikesan di Serikin

KUCHING: Kawasan wabak rabies kini memasuki pusat bandar Kuching di Satok apabila Pasar Basah Sungai Maong diisytiharkan kawasan terbaharu jangkitan.

Satu lagi kawasan yang turut diwartakan ialah Kuching dan Kampung Serikin di Bau.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang bermesyuarat sekitar jam 5.30 tadi mengeluarkan deklarasi tersebut.

Mesyuarat tersebut turut melaporkan bahawa perbincangan dengan pihak berkuasa Indonesia telah diadakan di Tebedu pagi tadi, dan antara ketetapan yang dicapai adalah untuk mengadakan operasi Rabies bersama di kawasan sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat.

Malah kedua-dua kerajaan bersetuju untuk memgeluarkan notis tidak memberi izin kepada sebarang import dan eksport haiwan.

Kata jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pada hari ini, sejumlah 31 kes gigitan baharu dilaporkan di Bahagian Serian, tiga kes di Sri Aman dan 16 kes di Kuching, menjadikan jumlah keseluruhan 879 kes sejak 1 April lalu.

Daripada jumlah itu, sejumlah 568 kes telah mendapatkan suntikan vaksin.

Jabatan Kesihatan Negeri turut mewujudkan empat klinik gigitan anjing iaitu di Hospital Umum Sarawak, Hospital Serian, Klinik Kesihatan Sentosa dan Klinik Kesihatan Sri Aman.

Setakat ini, wabak rabies telah mengorbankan lima nyawa, termasuk seorang lelaki berusia 52 tahun dari Kampung Remun, Serian.

Sementara itu Institut Penyelidikan Veterinar semalam mengesahkan bahawa empat daripada lima sampel yang diterima mereka adalah positif virus Rabies.

“Setakat ini, 39 sampel iaitu 33 sampel anjing dan 6 sampel kucing telah disahkan positif virus Rabies daripada 71 sampel yang diuji.”

Sehingga hari ini sebanyak 3,604 ekor anjing telah divaksin dalam Program Pelalian Penyakit Rabies di Padang Bola Keranjang Batu 7, Kota Sentosa.

Ini menjadikan jumlah haiwan peliharaan yang telah divaksin setakat ini adalah 17,844 ekor; yang terdiri daripada 10,204 ekor anjing, 7,595 ekor kucing dan 45 ekor haiwan lain. – Sarawakvoice

Comments