Pencuri kabel hampir mati tersangkut di tiang elektrik di Lawas

LAWAS: Seorang lelaki hampir mati selepas tersangkut pada wayar dan tiang elektrik, dalam cubaannya untuk mencuri kabel.

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku pada jam 8.50 malam Isnin lalu.

“Hasil maklumat awam memberitahu seorang lelaki telah tersangkut di tiang elektrik berhampiran kawasan Loji Air Lama Hulu Trusan, di sini.

“Sekitar 20 minit kemudian, sepasukan anggota polis telah pergi ke lokasi dan mendapati lelaki terbabit gagal melepaskan diri.

Pasukan Bomba dan Penyelamat katanya, kemudian dipanggil dan bertindak menurunkan lelaki tersebut dengan selamat dari puncak tiang letrik.

“Suspek yang dipercayai pencuri kabel kemudian diserahkan kepada sepasukan anggota polis daripada Cawangan Siasatan Jenayah IPD Lawas untuk tindakan lanjut.

Kata Abang Zainal Abidin, turut dirampas ialah sebilah pedang, sepasang kasut warna hitam dan sehelai baju t berwarna merah dengan tulisan Hotlink.

Suspek yang berbangsa Lun Bawang dan berusia 43 tahun dari Kampung Lintang di sini kemudian dirujuk ke Hospital Lawas untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri. – Sarawakvoice


Comments