Pakar Sejarah Sarawak Dikecam Kerana 6 Fakta Sejarah Sarawak


Pakar Sejarah terkenal Sarawak Datu Sanib Said dikecam hebat oleh netizen susulan penulisan blog beliau yang menyentuh enam fakta berkaitan tarikh 22 Julai. Menurut blognya, isu kemerdekaan Sarawak lebih menjurus kepada fakta yang tidak sahih dan dizahirkan dengan putar belit oleh pihak tertentu.

Sanib menjadi bahan kecaman netizen, kerana mengemukakan enam fakta yang membuktikan negeri Sarawak tidak pernah merdeka pada tarikh 22 Julai 1963, sepertimana yang didakwa ramai pihak. Satu kenyataan yang sukar diterima oleh kalangan netizen dan juga orang politik

Netizen menampilkan bukti mudah bahawa Sarawak telah merdeka apabila tarikh tersebut wujudnya kabinet Sarawak yang dipimpin sendiri oleh anak jati Sarawak.

Bagaimana pun, pemerhati berharap untuk melihat bukti atau fakta lain sebagai hujah netizen, selain maki hamun semata-mata.

Pada catitan perkara pertama, Sanib menjelaskan pada tahun 1946, Charles Vyner Brook berada dalam tekanan dan menyerahkan Sarawak kepada kerajaan British serta diluluskan oleh Majlis Tertinggi ketika itu. Sejak itu Raja British mengambil alih dengan gelaran kerajaan Koloni Sarawak dan Gabenor harus daripada warga British (White man) sehingga tanggal 15 September 1963 dan bukan 22 Julai 1963.

Perkara kedua pula, Sanib mencatitkan ialah pada 22 Julai 1963, Kerajaan Koloni British bersetuju menubuhkan kabinet pemerintahan Sarawak kepada anak Sarawak yang ketika itu dilantik sebagai Ketua Menteri ialah Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan yang digelar Majlis Negeri tetapi Kerajaan Koloni British masih memerintah Sarawak. Ini kerana British menerima tekanan daripada gerakan memerdekakan Sarawak.

Perkara ketiga pula, wujudnya Majlis Negeri memberi kuasa kepada Sarawak sendiri untuk bersuara dan membuat keputusan tetapi Kerajaan Kolonial British masih berkuasa sepenuhnya dan ini terbukti apabila akhbar-akhbar ketika itu hanya menulis tentang perlantikan Ketua Menteri dan Majlis Negeri. Tidak pula disentuh bahawa Sarawak Merdeka pada waktu itu.

Perkara keempat mencatit tentang pembentukan pemimpin dalam Majlis Negeri dan gambar yang menjadi Ahli Kabinet Sarawak seperti Awang Hipni Bin Pengiran Annu (State Minister); Dustan Endawie anak Enchana (Minister for Local Government), Stephen Kalong Ningkan (Chief Minister), Abdul Taib Bin Mahmud (Minister of Communication and Public Works), Teo Kui Seng (Minister of Natural Resources), dan James Wong Kim Min (Deputy Chief Minister).

Kelima berkaitan ucapan Kalong Ningkan pada 31 Ogos 1963 seperti yang dilaporkan oleh akhbar Sarawak Gazzette menyatakan Kalong Ningkan pernah menyebut tentang kemerdekaan Sarawak berkerajaan sendiri tetpi kemudian menyebut pencapaian kerajaan sendiri. Tiada langsung menyentuh Sarawak merdeka 22 Julai 1963. Kalong Ningkan juga menyebut bahawa Sarawak akan menuju tarikh yang penting ketika menyatakan ungkapan tersebut pada 31 Ogos 1963.

Keenam pula, Abdul Taib Mahmud berkata pada 31 Ogos 1963 seperti yang dilaporkan oleh Sarawak Gazzette 'Rakyat Sarawak yang menetap di Sarawak telah bekerja keras untuk menggapai satu kejayaan besar. Kejayaan yang akan menubuhkan kerajaan sendiri dan saya merasa akan terlibat dalam kelahiran Sarawak yang berkerajaan sendiri tidak lama lagi.

Itulah yang dizahirkan oleh Sanib yang mengundang pelbagai reaksi daripada netizen dan mengecam beliau sehingga ada yang membuat tuduhan melulu termasuk kenyataan rasis terhadap pakar sejarah Sarawak Datu Sanib Said Salim.

Sanib akan terus dikecam dengan maki hamun dan pelbagai tuduhan kerana hasil kajian dan fakta sejarah, bukan kerana kajian beliau tidak tepat, tetapi kecederungan masa kini yang menjadikan maki hamun sebagai hujah yang ampuh. - Abdul Halim Jantan

Comments