Parti Amanah Negara bimbang Sarawak hantar peguam ke London

Parti Amanah Negara (AMANAH) melahirkan kebimbangan dengan tindakan Sarawak yang menghantar sepasukan peguam ke London bagi mencari dan meneliti rujukan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963).

Menurut timbalan presidennya, Salahuddin Ayub, tindakan Sarawak menghantar pasukan peguam bagi menentukan hak-hak sebenar negeri itu yang termaktub di bawah perjanjian tersebut dibimbangi akan menyebabkan campur tangan asing dalam negara ini.

"Kenapa selepas puluhan tahun mereka (Sarawak) ambil sikap begini? Ada ia tamparan pada pentadbiran (Datuk Seri) Najib (Razak) pada masa ini?

"Kita bimbang langkah (kerajaan negeri Sarawak) ini akan mengundang campur tangan asing dalam Malaysia.

"Kalau perkara ini dibawa oleh pembangkang sudah tentu kita akan dikenakan dengan pelbagai akta tetapi ini dibawa oleh kerajaan negeri sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma AMANAH di ibu negara hari ini.

Pada 1 Julai lalu, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak akan menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan meneliti rujukan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963).

Tindakan itu bagi menentukan hak-hak sebenar negeri berkenaan yang termaktub di bawah perjanjian tersebut.

Beliau tutut mengumumkan pasukan peguam berkenaan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Abang Johari bagaimanapun tidak menyatakan bila dan tempoh masa pasukan berkenaan berada di London -Malaysiakini

Comments