Umur warga Sarawak lebih panjang berbanding negeri lain, wanita 78.6 tahun, lelaki 75.1 tahun

PUTRAJAYA: Warga Sarawak catat jangkaan hayat tertinggi di Malaysia dengan wanita mampu mencapai usia lanjut sehingga 78.6 tahun dan 75.1 tahun bagi lelaki.

Sementara, penduduk Terengganu mencapai jangkaan hayat terendah dengan 74.6 tahun bagi wanita dan 68.8 tahun bagi lelaki.

Sementara, bagi lelaki yang berusia 65 tahun di Malaysia ketika ini mampu hidup 15 tahun lagi dan wanita dijangka hidup 17.1 tahun lagi.

Mengikut Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2015-2017 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, bayi di negara ini yang dilahirkan antara 2015 dan 2017 dijangka boleh hidup sehingga berumur 74.8 tahun.

Jangkaan tersebut meningkat 0.5 tahun berbanding 74.3 tahun bagi bayi yang lahir pada 2011.

Memetik sumber Bernama pada Isnin, Jabatan Perangkaan mengunjurkan usia bayi perempuan yang lahir 2017 ialah 77.4 tahun, manakala bayi lelaki 72.7 tahun.

Kenyataan Jabatan Perangkaan mengakui jangkaan hayat rakyat Malaysia terus meningkat dari tahun ke tahun dengan perbezaan 0.6 tahun bagi lelaki dan perempuan berbanding 2011.

Jadual hayat tersebut dijana menggunakan statistik kematian bagi tempoh tiga tahun dan anggaran penduduk pertengahan tahun. – Sarawakvoice (gambar hiasan)

Comments