14 kes gigitan anjing dilaporkan, mangsa rabies terus kritikal

SERIAN: Sebanyak 14 kes gigitan anjing baharu dikesan di Daerah Serian menjadikan jumlah keseluruhan serangan anjing sejak 1 April meningkat kepada 290 kes.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, daripada jumlah tersebut, sebanyak 229 kes telah diberikan vaksinasi.

Bagaimanapun tiada kes jangkitan terbaharu terhadap manusia dilaporkan, dengan mangsa terakhir dari Kampung Seroban, Serian dikatakan dalam keadaan tenat di Unit Rawatan Rapi Paediatrik, Hospital Umum Sarawak.

Sementara itu, sehingga jam 5 petang tadi, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah memvaksinkan 3,785 ekor haiwan peliharaan.

Ia meliputi 952 ekor anjing, 2,810 kucing dan 23 haiwan lain termasuk tupai dan kera.

Pasukan vaksinasi  pula telah menjalankan pemvaksinan lapan kampung iaitu di Kampung Remun, Kampung Mentung, Kampung Diang Ipuh, Kampung Ranchan, Kampung Engkabang, Kampung Koran, Kampung Tangga dan Kampung Sumpas.

Program vaksinasi percuma turut diadakan di Dewan Masyarakat Serian, Pejabat Majlis Daerah Serian, Balai Babuk Gawing dan Pejabat Veterinar Bahagian Serian.

Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Serian,
Dr Simon Sinang Bada ketika ditemui melahirkan kebimbangan akan penularan wabak tersebut dari Kampung Paon hingga ke arah bandar.

“Kerana itulah kita perlu membuat pembanterasan besar-besaran, dan saya bersyukur kesedaran dalam kalangan penduduk semakin meningkat.

“Malah sambutan yang diterima pada hari ini cukup menggembirakan hingga stok 450 vaksin yang disediakan, habis.

Dr Simon yang juga doktor haiwan turut merakamkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua doktor veterinar swasta yang datang secara sukarela ke Serian tanpa mengharapkan sebarang habuan.

“Kita datang … turun untuk membantu kerana kita mengambil berat, mengambil serius kes rabies ini, yang mana ia pertama kali berlaku di negeri Sarawak, dan yang malangnya di Daerah Serian.

“Kerana itulah saya telah memberi sedikit arahan kepada pihak Majlis Daerah Serian untuk memberi apa juga bantuan yang diperlukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar supaya mereka dapat memberi perkhidmatan yang terbaik.

Wabak rabies di Serian telah mengorbankan tiga nyawa, dengan mangsa terakhir berasal dari Kampung Lebor. – Sarawakvoice


Comments