SERIAN - Seorang guru lelaki yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kerangan, Serian dijumpai mati di kediamannya di kuarters guru SK Kerangan di sini awal, pagi semalam.
Mangsa Francis ak Gabriel Raeng, berumur 47 tahun dan masih bujang dijumpai dalam keadaan telentang di bahagian dapur kuarters berkenaan sekitar jam 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandi bin Asni berkata, mangsa yang bertugas di sekolah berkenaan sejak 2014 hanya disedari oleh rakan sekerjanya selepas mendapati si mati tidak hadir bertugas hari ini.
“Sekitar 7.30 pagi tadi, polis telah menerima maklumat berkaitan dengan kejadian menjumpai mayat seorang guru yang dipercayai telah meninggal dunia di kuarters guru SK Kerangan, Serian.
“Si mati telah dijumpai telentang di bahagian dapur kuarter guru berkenaan dan tinggal seorang diri di kuarters,” katanya.
Katanya, sejurus laporan diterima, polis telah ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan.
Siasatan awal di tempat kejadian juga tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah dan mayat si mati telah dibawa ke Hospital Serian untuk pemeriksaan lanjut.
Bedah siasat juga akan dijalankan untuk mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan kematian mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Comments
Post a Comment