Budak bengkak pipi ditampar guru di Sibu

SIBU: Seorang budak lelaki berusia 10 tahun mengalami kecederaan bengkak di bahagian pipi kedua-dua belahnya dipercayai ditampar oleh gurunya, semalam (Sabtu).

Mangsa merupakan seorang murid disebuah sekolah rendah di Balingian dikatakan ditampar oleh gurunya berulang kali sehingga mendatangkan kecederaan.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Jimmy Panyau ketika dihubungi petang tadi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, nenek mangsa telah tampil membuat aduan di Balai Polis Selangau pada jam 10.40 pagi tadi.

"Kita telah menerima laporan dari nenek mangsa yang memaklumkan kepada polis di Selangau.

"Mangsa telah pun dihantar ke Klinik Kesihatan Selangau untuk mendapatkan rawatan dimana pipi mangsa di kedua-dua belahnya lebam dan bengkak," katanya lagi.

Justeru, Jimmy memberitahu bahawa kertas siasatan telah dibuka untuk menyiasat kes terbabit.

"Kes ini akan disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," tambahnya lagi.

Kejadian difahamkan berlaku pada 8 Julai lepas pada jam 1.30 petang.(Hakcipta terpelihara. Sebarang bentuk penerbitan semula sama ada menerusi media sosial atau bercetak tanpa kebenaran dan kredit kepada Utusan Borneo akan diambil tindakan.)

Comments