Harga Petrol Naik 1 Sen bermula Tengah Malam Ini 31 Ogos



PUTRAJAYA: Harga runcit siling bahan bakar ditetapkan secara mingguan mulai 30 Mac lalu, dan bagi tempoh seminggu berikutnya menyaksikan semua jenis minyak naik sikit buat julung kalinya.

Ia memang dijangka ekoran ketidaktentuan harga minyak dunia selain geopolitik ekoran taufan Harvey di Amerika Syarikat dan pergeseran diplomatik Asia Barat sekali gus menyaksikan trend permintaan melebihi penawaran.

Menurut laporan Berita N5 yang disiarkan oleh stesen TV1 RTM pada jam 5 petang Rabu, harga siling terbaharu produk minyak RON 95 naik satu sen kepada RM2.16 seliter, berbanding RM2.15 seliter pada seminggu sebelumnya.

Manakala had harga runcit untuk petrol premium jenis RON 97 dalam tempoh seminggu akan datang pula juga ditetapkan naik satu sen kepada RM2.44 seliter, daripada hanya sebanyak RM2.43 seliter pada minggu terdahulu.

Dalam pada itu, harga runcit baharu untuk minyak diesel dalam tempoh tujuh hari sama diumumkan meningkat sebanyak tiga sen kepada RM2.04 seliter, berbanding cuma RM2.01 seliter ketika tempoh minggu sebelumnya.

Stesen penyiaran awam kebangsaan berkenaan melaporkan bahawa kesemua harga siling baharu untuk produk petroleum tersebut bermula dari pukul 12.01 tengah malam 31 Ogos sehingga 11.59 malam pada 6 September depan.

Mulai 29 Mac lalu, Kabinet memutuskan penetapan harga runcit bahan api secara mingguan bagi membolehkan pengguna dapat menikmati trend kadar lebih stabil berbanding harga bulanan yang dilaksanakan sebelum ini.

Pihak kerajaan sebelum itu melaksanakan penetapan harga siling bulanan secara kaedah pengapungan terkawal dengan mengguna pakai sistem kiraan formula Mekanisme Harga Automatik yang ditetapkan sejak 1983 lagi.

Penetapan harga runcit minyak secara bulanan itu sudah lama dilaksanakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah pun bermula pada awal Disember 2014 lalu.

Namun, pengumuman rasmi secara mingguan dijangka dapat mengurangkan kegelisahan pengguna kerana corak perubahan harga tidak begitu ketara berikutan tempoh pengiraan yang agak pendek

Comments