Penduduk Kampung Beradek, Sembilang dan Tiang Api rayu jalan dibaiki dan dinaik taraf segera

KOTA SAMARAHAN: Penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Beradek, Kampung Sembilang dan Kampung Tiang Api berharap jalan raya utama di kampung terbabit dibaiki dan dinaik taraf bagi memberi kemudahan kepada penduduk yang berulang alok menggunakan laluan berkenaan.

Jalan raya sedia ada yang permukaannya hanya berstruktur tanah dan batu-batu kecil kini kerap rosak dan menimbulkan masalah pada masa kini.

Keadaan jalan raya berkenaan akan menjadi lebih teruk ketika musim hujan dan lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh. Banyak lubang akan terbentuk di permukaannya.

Jalan raya berkenaan adalah satu-satunya laluan darat yang boleh digunakan oleh penduduk Kampung Beradek, Kampung Sembilang, Kampung Tiang Api untuk berulang-alik ke Kampung Beliong, Tanju dan seterusnya ke kawasan Kota Samarahan.

Laluan itu jugalah yang digunakan untuk ke pusat Bandar Raya Kuching.

Seorang penduduk, Abang Obim,56, memberitahu keadaan jalan yang berbatu dan licin ketika hujan itu menyukarkan penduduk terutama ketika mereka membawa pesakit untuk mendapat rawatan ke klinik Tanjung Embang yang terletak di antara kpg Beradek dan Kampung Sembilang.

“Jalan raya bermasalah ini terletak di antara Kampung Beradek dan Kampung Tanju. Keadaannya memang sangat perlukan perhatian pihak berwajib.

“Penduduk akan berdepan perjalanan yang lebih sukar jika terpaksa melalui jalan raya tersebut pada waktu malam,”ujarnya.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Zul turut melahirkan rasa terkilan kerana jalan raya berkenaan tidak mendapat perhatian sewajanya daripada pihak yang berkenaan.

“Berikutan jalan yang sentiasa tidak memuaskan maka penduduk di Beliong dan Tanju lebih suka pergi ke klinik di Asajaya atau Sadong Jaya untuk mendapat rawatan,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu Zul berharap pihak yang berkenaan akan tampil bagi menyelesaikan masalah jalan raya di kampung itu dalam kadar segera. – Sarawakvoice

Comments